Drama bersiri Mok Cun sudah berakhir Khamis lalu, sirinya pun hanya sembilan episod. Tapi kegilaan penonton terhadap rancangan diterbit, diarah dan dilakonkan Erma Fatima itu ibaratnya seperti tsunami.

Terkejut juga Cik Pang apabila sana sini orang bercakap pasal Mok Cun dan bedak sejuknya. Sampaikan ramai meluahkan rasa kecewa apabila drama yang menggambarkan kehidupan masyarakat di utara tanah air itu sudah berakhir.

Tapi ada berita gembira yang ingin Cik Pang sampaikan kepada peminat setia drama Mok Cun. Gara-gara kegilaan ramai dan jumlah tontonan tinggi, TV3 meminta Erma menghasilkan Mok Cun siri kedua.

Ada juga mencadangkan kenapa tidak Erma membawa Mok Cun ke layar perak dan pentas teater. Kalau ia dapat dilakukan lagi menarik.

Dalam kalangan teman Cik Pang pun ramai memuji kredibiliti Erma dan pelakon yang terbabit dalam drama Mok Cun.

Kata mereka, Erma membuktikan karya yang baik tidak memerlukan pelakon cantik dan muda untuk menarik perhatian penonton.

Mok Cun menampilkan Datuk Rahim Razali sebagai pelakon utama, malah Erma dan Umie Aida turut memegang watak mak cik kampung tetapi berjaya memenangi hati penonton.

Cuma pada waktu sama, ada juga kritikan yang Cik Pang dengar terutama daripada mereka yang berasal dari Kedah. Kata mereka, dialek digunakan kadang-kadang salah dan tidak tepat.

Itu memang Cik Pang akui. Sebagai penerbit, pengarah, penulis skrip dan juga pelakon Mok Cun, Cik Pang percaya Erma menerima kritikan itu dan bakal memperbaikinya apabila penggambaran untuk siri kedua dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:02 AM