Sindrom ʻdivaʼ segelintir artis baru yang rasa diri makin popular bukan baru. Cik Pang sendiri pun dah naik meluat dan sakit urat jari asyik menaip menegur hal sama.

Terbaru mengenai sikap pelakon yang sedang naik melalui drama Syurga Nur, siapa lagi kalau bukan Jannah Nick yang sudah menampakkan ciri-ciri diva di set penggambaran.

Dakwa teman Cik Pang, pelakon itu bukan saja tidak boleh ditegur kru, malah bersikap dingin dengan pelakontambahan.

Pelakon itu juga didakwa bersikap ʻmulut lancangʼ memerli orang sekeliling yang tidak sebulu dengannya. Amboi! Sampai begitu sekali ya?

Terfikir juga, manalah tahu kalau dia bersikap begitu sebab terbawa-bawa dengan watak dilakonkan. Tapi bila te­ngok balik pelakon hebat tanah air lain yang sudah bertahun-tahun dalam industri serta pernah merangkul pelbagai anugerah berprestij, tidak ada pula yang terbawa-bawa watak dilakonkan sampai begitu sekali.

Malah mereka tetap menghormati dan bertegur sapa dengan semua, baik tukang buat air sampailah pada pelakon-pelakon tambahan yang masih mentah.

Nasihat Cik Pang, kepada mana-mana artis yang nama mereka sedang meningkat, hanya disebabkan drama lakonan mereka kini popular di kaca televisyen, jangan cepat melatah ya!

Ingat sikit, dunia hiburan ini tidak besar mana. Orang sekeliling sentiasa memerhati tindak-tanduk kita. Kalau buruk perangai, busuklah nama. Kalau indah sikap, harum semerbak orang ingat sampai bila-bila.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:02 AM