ZEERA. FOTO Mahzir Mat Isa
ZEERA. FOTO Mahzir Mat Isa
Cik Pang

PENGIKUT drama Setelah Terlafaznya Akad tentu tertanya-tanya gerangan wanita yang melakonkan watak Hani. Walaupun baru sahaja berlakon, lakonannya nampak ‘hidup’.

Cik Pang puji cara Zeera menzahirkan watak berkenaan. Memang meluat dan menyampah bila dia gelar sahabat baik Hanan sebagai pacat. Fuh! Cik Pang yang menonton pun rasa sakit hati lihat sikapnya yang angkuh itu.

Melihat sikap Hani yang boleh dikatakan ‘gila talak’ dan sering mengganggu hidup Hanan dan Nawal, membuatkan Cik Pang rasa nak masukkan tangan dalam televisyen dan tarik rambut dia.

Memang Cik Pang geram betul dengan perangai Hani. Nasib baiklah sekadar lakonan, kalau dunia realiti rasanya jika bertemu, Cik Pang akan hadiahkan jelingan paling tajam.

Berbalik pada lakonannya, tidak keterlaluan kalau Cik Pang katakan Zeera pelapis baharu yang bakal menjadi rebutan produser atau pengarah untuk watak antagonis.

Bukanlah Cik Pang katakan lakonannya sudah sempurna tetapi apa yang dipamerkan ketika menjayakan watak Hani itu pun sudah cukup baik. Begitupun, masih banyak ruang untuk dia memperbaiki mutu lakonan.

Cik Pang percaya, andai diberi peluang untuk membawakan watak yang lebih jahat daripada Hani, dia pasti mampu melakukannya dengan baik.

Tidak semua pelakon berkebolehan membawakan watak gelap hingga menimbulkan kebencian penonton. Cik Pang kagum dengan Zeera kerana cubaan pertamanya ‘menjadi’. Cik Pang teringin lihat dia diberikan peluang membawakan lebih banyak watak jahat. Walaupun geram tetapi tentu seronok.

Apapun, Cik Pang harap Zeera tidak terbuai dengan pujian penonton dan terus memberikan yang terbaik serta membuktikan dia mampu menjadi pelakon yang bagus.

Masih jauh lagi perjalanan untuk mencipta nama sebagai pelakon yang disegani. Cik Pang harap Zeera menghargai peluang yang diberi dan pandai jaga diri serta nama baik.

Cik Pang doakan drama Setelah Terlafaznya Akad akan jadi permulaan baik buat Zeera untuk bersinar di persada seni tanah air. Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:00 AM