Rasanya penat dah Cik Pang berkongsi cerita mengenai kisah Aiman Tino letak harga dan pihak pengurusannya meminta bayaran tinggi untuk penyanyi muda itu menyanyi.

Perkara itu pun sudah diperjelaskan berkali-kali oleh Aiman bagi mengelakkan salah faham timbul agar tidak berpanjangan.

Bagaimanapun, apabila mendengar cerita pihak pengadu dan kemudian penjelasan diberikan Aiman sendiri, membuatkan kita tidak tahu siapa yang betul dan siapa yang ‘pusing’ cerita sebenarnya.

Bagi Cik Pang sendiri, soal letak harga itu terpulanglah. Tambah pula nama Aiman tengah panas, memanglah pihak pengurusannya akan letak harga. Bak kata orang, apabila sekarang ini tengah ada permintaan, inilah waktu terbaik untuk buat duit.

Mereka yang mempelawa pula, kalau tidak mampu bayar jumlah yang diminta itu, cari saja penyanyi lain. Ada juga penyanyi yang tidak berapa popular tetapi vokal dan persembahannya jauh lebih baik dan hebat. Ibaratnya wang yang dikeluarkan itu lebih berbaloi.

Cuma baru-baru ini ada rakan media sendiri mengadu yang dia kecewa dengan pengurusan Aiman sewaktu dia menghubungi bagi mendapatkan khidmat Aiman menyanyi dalam majlis yang bakal dianjur.

Kata teman itu, harga ditetapkan cecah berbelas ribu dan seperti biasa pihak pengurusan menetapkan jumlah bayaran bagi tempoh dan berapa jumlah lagu dinyanyikan.

Teman Cik Pang faham perkara itu cuma apa yang membuatkan dia kecewa ialah cara pihak pengurusan menangani situasi sewaktu berurusan.

Kata teman itu mereka hanya ada bajet kecil dan minta budi bicara tapi tanpa mendengar penjelasan lebih lanjut mengenai tawaran dibuat, pihak pengurusan Aiman katanya tiba-tiba berlakon kononnya talian tidak berapa baik dan seterusnya memutuskan talian.

Kalau tidak mahu percaya aduan teman Cik Pang ini tidak boleh juga kerana tak mungkin teman media mahu buat-buat cerita sesama teman media.

Dalam hal ini, terpulang pada pendirian dan pandangan masing-masing. Bak kata seorang lagi teman media yang mendengar luahan terbabit. Sekarang ini memanglah pihak pengurusan Aiman boleh ‘demand’ tapi tunggulah empat lima tahun lagi. Waktu itu kalau dibayar RM500 pun mungkin dia terima.

Ada juga benarnya kata teman seorang lagi itu. Dunia ini berputar, sekejap kita berada di atas dan sekejap di bawah. Tambah pula zaman persaingan yang sangat sengit dengan begitu ramai penyanyi baru dan muda.

Kadang-kadang budi bicara itu yang akan dikenang orang. Mana tahu masa akan datang teman media itu yang diperlukan untuk membantu. Siapa tahukan?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:18 PM