SIBUK membuat kuih.
SIBUK membuat kuih.
SUKARELAWAN menunjukkan biskut yang dibuat mereka.
SUKARELAWAN menunjukkan biskut yang dibuat mereka.
Oleh Kusyi Hirdan

Bagi mereka yang susah, mendapat hadiah kuih raya tentunya sesuatu yang bermakna. Tidak ternilai kata-kata betapa seronoknya rasa hati. Terkadang belum hari raya, biskut sudah habis dirasa.

Mahalkah sebalang kuih raya? Mungkin ada yang berasa ia murah saja, bergantung kepada jenis kuih yang hendak dibeli. Paling mahal mungkin sekitar RM30. Untuk membuatnya pula, mungkin lagi murah. Rajin dan ada modal, boleh saja membuat berjenis-jenis biskut bagi dijamu di pagi raya.

Tetapi itu kata kita yang mampu. Bagi mereka yang tidak mampu, tentu tidak semudah diucap kata-kata. Sebuku mentega pun ada yang merasakan terlalu mahal buat mereka.

Memahami hakikat ini, Superfrends, kumpulan komuniti amal mahu menggalakkan golongan muda untuk mengerti betapa mahalnya sebalang biskut raya kepada mereka yang susah. Apa kata kita buat dan hadiahkan kepada mereka!

“Ini tahun ketiga kami membuat kuih raya bersama-sama masyarakat untuk agihan kepada warga susah di pertengahan Ramadan kelak. Kali ini kami berjaya membabitkan golongan pelajar pula,” kata pengasas Superfrends, Khamisah Mohd Nazri.

Pada tahun pertama, ia membabitkan rakan, tahun kedua bersama masyarakat kampung dan kali ini dengan golongan remaja.

Tujuan utama, selain menyiapkan biskut raya, ia juga demi memberi pendedahan mengenai kerja amal yang boleh dilakukan sesiapa saja, tidak mengira kecil atau besar asalkan dilakukan secara rutin.

“Kami bertuah kerana pihak Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bukan saja membenarkan pelajarnya membantu kami menyiapkan 300 balang kuih raya tetapi juga membenarkan kami memasak di premisnya,” katanya.

Kira-kira 25 pelajar KUIM dan sukarelawan lain turut membuat biskut raya bermula seawal jam 9 pagi.

“Konsep sukarelawan seperti ini mungkin masih terlalu baru bagi pelajar walaupun ada beberapa orang yang sudah beberapa kali membantu kami. Kami beritahu mereka tujuan membuat biskut raya hari itu dan berharap kerja amal sebegini akan mula bertapak di hati mereka untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Biskut raya yang dibuat ada dua jenis iaitu biskut mentega dan biskut perasa kopi. Kedua-duanya sedap dan dibuat dengan bahan berkualiti.

“Bilik kelas yang luas memudahkan lebih kurang 25 orang bertugas hari itu. Ada yang ditugaskan menerap biskut, menjaga ketuhar dan menyimpannya di dalam balang. Menariknya, majoriti

yang membantu kali ini adalah lelaki,” kata Khamisah.

Menyiapkan hampir 300 balang biskut raya bukan mudah dan boleh dilihat anak-anak muda itu keletihan. Namun mereka bertahan dan cuba sedaya upaya menyiapkan kuih.

“Walaupun adakalanya kami terpaksa menegur anak-anak remaja ini tetapi ia untuk kebaikan mereka. Kami perlu memberitahu betapa dalam memberi kepada mereka yang susah, kita perlu memberikan yang terbaik. Justeru, harus lakukan yang terbaik. Malah, perlu lebih baik daripada untuk diri sendiri. Kalau bentuk biskut tidak elok, kami meminta mereka buat semula hingga menjadi,” katanya.

Biskut raya yang dibuat ini akan dijadikan hamper dan dimasukkan bersama barangan persiapan raya yang lain seperti kordial, nasi impit, kuah kacang dan kek yang akan diedar kepada 150 penerima.

“Kami bersyukur kerana penduduk kampung turut meminjamkan peralatan memasak seperti ketuhar, pencanai dan dulang pembakar. Bahan pula disumbang rakan-rakan di laman sosial dan kenalan peribadi.

“Pensyarah KUIM, Nadzirah Yusop dan Kadri Md Saleh juga sentiasa membantu Superfrends dalam menjayakan program amal bersama kolej universiti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 11:03 AM