AGIHAN juadah berbuka pada Ramadan lalu.
AGIHAN juadah berbuka pada Ramadan lalu.
Kusyi Hirdan

Puteri Nurul Syahirah Raslan, 25, anak jati Taiping, Perak suka mengembara dan mencuba perkara baharu. Dia juga suka menjamu selera bersama keluarganya, menikmati menu yang unik dan jika mempunyai kelapangan akan menemani ibunya bersenam aerobik atau yoga.

Bukan itu saja yang disukai oleh lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Sistem Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini. Gadis langsing ini juga mula jatuh cinta terhadap kerja amal yang dilakukan pada masa lapangnya sejak tiga tahun lalu.

Awalnya sekadar membantu sebagai sukarelawan namun kini kecintaannya makin mendalam. Gadis ini mulai bersama-sama mengumpul dana dan membawa anak dari keluarga susah membeli baju sekolah, baju raya dan program Ramadan yang lain. Dia juga menyertai program ziarah dan menceriakan hospital dengan menghantar makanan serta cenderahati ke hospital terpilih.

Syahirah, anak kedua daripada tiga beradik pernah ke Krabi, Thailand mengikuti kumpulan amal mengagihkan bantuan barang dapur ke perkampungan Islam yang susah dan juga mengadakan program perbetul bacaan surah al-Fatihah.

Memandangkan Ramadan hampir menjelang tiba, Syahirah dan temannya sudah bergerak awal bagi mengumpul dana baju raya.

PUTERI Nurul Syahirah harap ramai tampil menaja kuih raya untuk anak kurang berkemampuan.
PUTERI Nurul Syahirah harap ramai tampil menaja kuih raya untuk anak kurang berkemampuan.

“Kami menggunakan laman sosial bagi menghebahkan program yang bakal berlangsung. Tahun ini, saya dan rakan Superfrends mengumpul dana baju raya untuk program yang akan berlangsung di Kelantan. Tahun sebelumnya program sama berlangsung di Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak.

“Kami akan membawa 30 orang dari keluarga yang memerlukan membeli baju raya, berbuka puasa, memberi duit raya dan hamper, bersahur, moreh dan juga agihkan juadah berbuka puasa di jalanan sebagai usaha dakwah,” katanya.

Sekiranya banyak kutipan, bermakna lebih ramailah orang susah yang akan dibawa pada program ini.

“Selain itu, Ramadan tahun ini juga kami akan mengedarkan 500 balang kuih raya, 500 lemang dan rendang kepada penerima tanpa mengira bangsa dan agama. Agihan kuih raya kali ketiga ini akan diadakan pada Ramadan. Kami juga teruja kerana ini tahun pertama untuk mengagihkan lemang dan rendang,” sambungnya.

SUKARELAWAN melabel balang kuih raya.
SUKARELAWAN melabel balang kuih raya.

Tahun lalu, selain kepada orang susah, kuih raya diagihkan kepada guru di sekolah yang terpilih, pemandu teksi dan bas, pejabat pos, petugas yang melakukan pembersihan, juga kakitangan kabin di awan biru.

“Tahun ini kami meneruskan program sama. Ia sedekah dakwah jadi penerimanya ialah orang susah berbilang bangsa dan agama. Sesiapa pun boleh menaja satu, dua balang atau 10 balang dengan harga RM12 sebalang, mengikut kemampuan masing-masing,”katanya.

Syahirah mula berminat menyertai program amal kerana mengikut ibunya, Raja Rahmah Raja Yaacob yang merintis langkah awal menjadi sukarelawan. Syukur ia tidak terhenti pada kali yang pertama kerana mereka terus mahu melakukannya.

SEWAKTU agihan kuih raya di awan biru sebagai salah satu dakwah jalanan.
SEWAKTU agihan kuih raya di awan biru sebagai salah satu dakwah jalanan.

Pasangan anak beranak ini sering menyertai program amal yang dirancang sepanjang tahun. Setiap kali selesai sesuatu program, program seterusnya akan segera dirancang.

“Program amal pertama yang saya sertai ialah membawa anak asnaf membeli baju sekolah. Namun waktu itu saya hanya terbabit sebagai sukarelawan. Semakin lama, saya dan ibu rasa seronok dan kami mulai sama-sama mengumpul dana bagi memberi keceriaan pada mereka yang memerlukan.”

Aktiviti Syahirah bukan rahsia dalam kalangan ahli keluarga dan teman. Walaupun aktiviti ini tidak memberi imbuhan wang atau nama, ia membuatkan dua beranak ini rasa bahagia, supaya sumbangan kecil mereka dapat menjadi bekalan menuju akhirat.

Bagi yang mahu menyumbang ke program Ramadan ini boleh menghubungi Facebook ‘Kami Superfrends’ dalam sama-sama memberi kegembiraan kepada insan memerlukan.

PUTERI Nurul Syahirah dan ibunya, Raja Rahmah.
PUTERI Nurul Syahirah dan ibunya, Raja Rahmah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 12:35 PM