ZOEY selesa positif hikmah putus cinta.
ZOEY selesa positif hikmah putus cinta.
Oleh Norhayati Nordin


Tidak semua hubungan cinta membawa dua insan ke jenjang pelamin. Begitu juga dengan cinta pelakon Zoey Rahman, 30, dengan gadis pilihan yang putus di tengah jalan.

Walaupun kini impiannya untuk berkahwin sebelum usia mencecah 30 tahun lebur dan hanya tinggal kenangan, Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman reda dengan ketentuan Ilahi.

Dia juga sedar jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan pasrah ikatan dengan gadis yang pernah menghias hati­nya itu ternoktah di tengah jalan sebelum hubungan dijalin mengatur langkah ke fasa seterusnya.

Mungkin ramai tidak mengetahui kisah percintaan Zoey dengan kekasih hati terjalin hampir satu tahun sete­ngah tapi kini, semua itu hanya tinggal kenangan.

“Saya lebih selesa melihat kisah putus cinta itu pada sudut positif. Sememangnya, kami ditakdirkan tidak ada jodoh dan saya akur dengan pilihannya.

“Apatah lagi kami juga putus secara baik apabila dia sendiri memberitahu saya, sukar untuknya menjalin cinta dengan lelaki berstatus selebriti,” katanya.

Zoey akur kesibukannya sebagai anak seni dan juga kekasih hati yang berlainan tuntutan karier, membuatkan masing-masing sentiasa sibuk dengan komitmen hingga tiada masa berjanji temu.

Mendoakan yang terbaik buat bekas kekasihnya, Zoey berkata wanita yang berkelulusan dalam bidang undang-undang itu pun kini sudah berstatus tunang orang.

“Meskipun putus cinta tetapi kehidupan harus diteruskan. Saya pun tidaklah begitu kecewa kerana sudah takdir kami tiada jodoh untuk hidup bersama.

“Kini saya pun terlalu sibuk dengan pelbagai komitmen kerja di antara lakonan, pengacaraan serta pengurusan perniagaan diusahakan,” katanya.

Zoey juga bersyukur diberi kesempatan menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah selama 12 hari bersama keluarga sejak 24 Jun lalu. Ini kali pertama Zoey mengerjakan umrah ketika Ramadan.

Anak keempat dari lima beradik ini berkata, peluang menjadi tetamu Allah pada bulan Ramadan cukup membuatkan dia teruja tambah pula berpeluang ke sana bersama keluarga.

“Saya pun tak sangka ada kelapangan masa untuk menyertai keluarga mengerjakan umrah kali ini. Ia pengalaman sangat bermakna.

“Ditambah pula kami seramai lima orang berada di Tanah Suci mengerjakan umrah ketika Ramadan. Sudah tentu lebih meng­eratkan kasih sayang kekeluargaan,” katanya.

Berkongsi perkembangan kariernya, Zoey berkata dia baru selesai penggambaran filem seram, Aku Haus Darahmu bersama Nad Zainal arahan Aidilfitri Mohammad Yunos.

Selain itu, dia dengan Nad juga digandingkan dalam drama Puteri Labu untuk RTM. Tidak ketinggalan, Zoey juga muncul mengacarakan program Kenali Pemimpin untuk TV AlHijrah (TVAH).

Memulakan kerjaya sebagai pengacara kanak-kanak, Zoey kini mahu meluaskan sayapnya dalam lakonan.

Mengakui dia kini makin matang dan tidak lagi sinonim de­ngan program kanak-kanak, Zoey gembira diberi kepercayaan mengendalikan program Kenali Pemimpin.

Katanya, tidak dinafikan dari dulu hingga kini namanya terus dikenali sebagai pengacara program Gerak Geri Gasing untuk kanak-kanak di Astro Ceria.

Dia juga lebih memilih watak terutama dalam membuang imej kanak-kanak selain lebih selesa dengan penampilan yang lebih dewasa berbanding dahulu.

Mengenai perniagaan, Zoey yang melancarkan produk kesihatan jenamanya, Mika Series tahun lalu, kini tampil pula berniaga busana lelaki seperti jubah dan baju Melayu.

Mengetengahkan koleksi Zoey rahman For Zawara, anak jati Terengganu ini memaklumkan dia menghasilkan empat rekaan iaitu dua untuk jubah dan dua lagi baju Melayu.

Katanya, dengan menawarkan tiga warna terhad untuk setiap koleksi semestinya harga ditetapkan agak berpatutan di antara RM225 untuk baju Melayu dan RM199 (jubah).

Sempena sambutan Syawal tidak lama lagi, Zoey berkata, koleksi baju Melayu dan jubah rekaannya mengikut gaya terkini yang menepati cita rasa pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:10 AM