ANGGAP hubungan sebagai sahabat baik, kedua-duanya nafi dilamun cinta.
ANGGAP hubungan sebagai sahabat baik, kedua-duanya nafi dilamun cinta.
Norhayati Nordin


Selepas percintaannya putus di tengah jalan tahun lalu, pelakon dan pengacara, Zoey Rahman, 31, dilihat hanya memberi perhatian kepada karier seni dan perniagaan.

Namun, kini didapati semacam ada kisah baru. Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman bagaikan sudah bertemu pengganti apabila melihat ayat Zoey pada beberapa gambarnya bersama penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana atau Nana, 32, di laman Instagram (IG) miliknya.

Meskipun kapsyen ditulis itu mungkin bersifat gurauan, menariknya ia mendapat maklum balas positif daripada peminatnya dan Nana.

Selain jumlah ‘like’ mencecah ribuan, peminat yang menulis komen pula rata-rata mengutus doa dan restu buat kedua-dua figura sama cantik dan sama padan ini.

Berbicara mengenai isi hatinya terhadap penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu, kata Zoey, sebenarnya hubungan mereka berpaksikan persahabatan kerana sudah kenal lama.

“Kami mula kenal ketika masih remaja dan gigih membina nama dalam karier seni. Saya juga pernah menjadi model dalam beberapa muzik video lagu nyanyian Nana kerana kami diperkenalkan seorang pengurus artis.

“Saya selesa berkawan dengan Nana kerana kami satu kepala. Kami boleh berbincang banyak perkara dan berkongsi pendapat,” katanya.

Zoey juga tidak menafikan Nana memiliki ciri-ciri wanita pilihannya namun, buat masa sekarang mereka lebih selesa bersahabat.

“Saya tidak mahu terlalu mengulas perkara ini. Bagi saya, hubungan persahabatan di antara kami lebih utama.

“Apatah lagi urusan jodoh adalah perancangan Ilahi. Buat peminat yang mengutus doa, terima kasih diucapkan,” katanya.

Zoey juga masih aktif berlakon dan baru saja selesai penggambaran drama terbaru, Arluna sebanyak 13 episod.

Berganding sebagai ‘hero kedua’ dalam drama itu, Zoey beraksi di samping Saharul Ridzwan dan Anzalna Nasir.

Kini dia sibuk di lokasi penggambaran telefilem dan giat mempromosikan filem lakonannya, Aku Haus Darah Mu arahan Aidilfitri Mohamed Yunos.

Turut berusaha mengembangkan karier seninya di negara jiran, Zoey berkata dia dijangka berangkat ke Indonesia sekitar tahun hadapan.

“Kontrak sudah ditandatangani, cuma tawaran berlakon sinetron dijanjikan itu mungkin bermula pada 2017.

“Apapun, komitmen kerjaya seni saya di tanah air masih padat dan Alhamdulillah hingga kini masih ada tawaran,” katanya.

Selain filem Aku Haus Darah Mu, pada 2017 juga Zoey akan muncul dengan satu filem lakonannya di Indonesia berjudul Mantan.

Biarpun sebagai penampilan istimewa, menariknya filem itu dibintangi pelakon terkenal Indonesia seperti Luna Maya, Kimberly Ryder dan Gandhi Fernando.

Mengenai cadangan peminat yang mahu dia berlakon bersama Nana, Zoey berkata semuanya terserah pada rezeki. Kalau ada peluang dan kepercayaan pihak produksi dengan jalan cerita drama yang sesuai, dia takkan menolak.

Apa pun kata Zoey, segalanya bergantung kepada kelapangan waktu karana dia dan Nana mempunyai jadual kerja yang padat.

Nana tak ramai kawan lelaki

Jika Zoey mengaku berkawan dengan Nana, bagaimana pula dengan dirinya? Apakah ada bunga-bunga cinta di hati Nana atau sebaliknya.

Sekalipun seakan kurang selesa dengan soalan ditanya, Nana sangat profesional kerana dia tidak melenting apatah lagi cuba menepis.

Sama seperti Zoey, Nana berkata persahabatan yang terjalin sejak tahun 2000 itu membuatkan mereka mudah rapat.

“Saya sebenarnya tak ada ramai kawan lelaki. Setakat ini hanya rapat dengan Zoey dan Nubhan (AF6).

“Apapun, buat masa ini apa yang boleh dijelaskan di antara saya dengan Zoey, kami berdua adalah sahabat baik saja. Tapi tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Soal jodoh, hanya Tuhan yang tentukan,” katanya.

Mengenai komen positif peminat terhadap hubungan baik itu, Nana akui berasa lucu apabila membaca komen ditulis.

Dia akur dengan lumrah kehidupannya sebagai selebriti dikenali dan terima sebaik mungkin.

Katanya, selepas muncul juara program Gegar Vaganza 2 (GV2) tahun lalu, dia mula sedar kelompok peminat yang baru adalah golongan remaja.

“Terima kasih atas sokongan padu mereka dan saya sedikit pun tidak terasa hati dengan komen ditulis,” katanya.

Selain aktif menyanyi, Nana kini sibuk dengan jadual latihan pementasan teater Semanis Honey Muzikal di Istana Budaya (IB).

Dia akui bimbang dan takut dengan penerimaan terhadap lakonannya di pentas dan berusaha buat yang terbaik.

“Kalau boleh saya tak mahu peminat kecewa dan sekarang memang saya lipat gandakan usaha berlatih. Saya akan cuba buat sehabis baik untuk peminat kerana tahu mereka (peminat) menaruh harapan tinggi pada teater ini,” katanya.

Teater yang menggandingkan Nana dengan Alif Satar sebagai pelakon utama itu akan dipentaskan di Panggung Sari, IB mulai 3 hingga 9 Januari 2017.

Sibuk bagaimana pun, Nana tetap memastikan ada masa bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 9. Biarpun tahu anaknya memahami kesibukannya, sebagai ibu masa untuk Rayyan sentiasa ada.

“Mungkin kami tiada peluang pergi bercuti tetapi saya pastikan akan ada masa makan tengah hari dan berkomunikasi dengannya.

“Saya bersyukur dia tidak banyak kerenah dan ada kalanya sudi menemani saya berlatih teater di IB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:04 AM