Zoey (kanan) akui masih rapat dengan Nana. FOTO fail HM
Zoey (kanan) akui masih rapat dengan Nana. FOTO fail HM
Norhayati Nordin


PELAKON dan pengacara, Zoey Rahman, 32, mengakui dia masih lagi berkawan rapat dan berhubungan baik dengan penyanyi popular, Siti Nordiana Alias atau Nana, 33.

Cuma, ujarnya mereka sibuk dengan komitmen kerja serta aktiviti seni masing-masing hingga tiada masa untuk berjumpa dan keluar bersama.

Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata ditambah lagi, dia pun baru pindah rumah dan pejabat di kawasan perniagaan lebih strategik.

"Saya buat keputusan pindah pejabat di tempat baru di Cheras bukan kerana sudah bergaduh atau bermasalah dengan Nana sebab dulu pejabat kami bersebelahan.

"Ia kerana saya cuma memikirkan sudah tiba masa berpindah pejabat lebih selesa dan ada ruang luas berikutan jumlah pekerja pun makin bertambah dan skop operasi kian besar," katanya.

Zoey berkata apa pun disebabkan agak lama juga tidak memuat naik foto bersama Nana di Instagram (IG), ramai peminat menghantar 'DM' kepadanya bertanya apakah mereka gaduh dan bermasalah?

"Tiada sebab pun untuk saya dan Nana gaduh atau bermasalah kerana status kami hanya kawan rapat saja. Tidak lebih daripada itu.

"Selama ini pun, peminat yang membuat andaian kami bercinta kerana foto-foto yang saya muat naik di IG termasuk pergi umrah bersama pada tahun lalu," katanya.

Menurut Zoey, kini dia selesa memberi fokus pada karier lakonan yang masih mendapat perhatian termasuk tetap mendapat tempat sebagai hero dalam drama.

"Setakat ini, saya tidak melihat situasi diri sudah 'jatuh taraf' untuk terus mendapat peluang menjadi hero dalam drama.

"Pencapaian saya dalam karier lakonan Alhamdulillah masih baik dan tetap diberi peluang untuk watak utama meskipun saya tidak bersikap cerewet memilih tawaran berlakon," katanya.

Sehubungan itu, kini Zoey muncul dengan drama terbaru, Cik Sempurna di TV3 yang disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 7 malam.

Dalam drama 26 episod itu, Zoey berganding dengan pelakon lain seperti Azrel Ismail, Emma Maembong dan Dayang Areeda sebagai watak utama.

Terdahulu, nama Zoey melonjak menerusi drama komedi, Mat Rukun yang disiarkan TV9 pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:19 PM