Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian bayi perempuan, Putri Wafa Mohd Saifudin, empat bulan, yang koma selepas mengalami pendarahan di dalam otak dan mata disyaki didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata, sehingga ini, tiada tangkapan dilakukan dan kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001.

Hukuman diperuntukkan adalah denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurutnya, siasatan mendapati bapa mangsa baru tiga hari menghantar anaknya ke pusat jagaan itu dan mendakwa anaknya berada dalam keadaan baik ketika dihantar ke pusat jagaan itu pada Rabu lalu.

“Pusat jagaan ini juga sudah beroperasi tiga tahun lalu dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pemeriksaan dan ujian dijalankan mendapati bayi itu mengalami perdarahan pada kedua-dua mata (bahagian retina).

Selain itu, katanya, imbasan terhadap kepala mengesahkan bayi itu mengalami perdarahan otak.

“Ujian makmal lainnya adalah normal dan imbasan sinar-X tulang tiada menunjukkan tanda-tanda kecederaan pada tulang keseluruhan tubuh badan.

“Bayi berkenaan kini dirawat di wad rawatan rapi kanak-kanak dengan bantuan pernafasan dan di bawah penjagaan Pakar Perunding Kanak-Kanak.

“Secara keseluruhan keadaan bayi ini masih di tahap kritikal dan dalam penjagaan rapi pakar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 1:44 PM