GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Polis menahan seorang buruh ladang bersama pasangannya selepas disyaki mengabaikan bayi mereka berusia 8 bulan sehingga mengalami kecederaan, termasuk pendarahan pada otak.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek ditahan susulan laporan dibuat pegawai perubatan Hospital Tawau selepas bayi berkenaan dimasukkan ke dalam wad kira-kira 11 malam Isnin lalu.

Menurutnya, bayi itu dimasukkan ke dalam wad selepas menerima rawatan awal di unit kecemasan sebelum imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan terdapat pendarahan dan bengkak pada otak, selain kecederaan fizikal pada tubuh badan mangsa.

Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau, membuat serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kausing, Batu 6 Jalan Apas, dekat sini, dan menahan pasangan masing-masing berusia 49 dan 21 tahun.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua saspek warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama sejak Disember 2019.

"Hasil hubungan tidak sah kedua-dua saspek melahirkan bayi perempuan pada 17 Jun tahun lalu dalam keadaan pramatang tujuh bulan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

PETER. FOTO Abdul Rahemang Taiming
PETER. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Peter berkata, pengakuan daripada kedua-dua suspek mendedahkan bayi terjatuh dari buaian pada Januari lalu, bagaimanapun ketika itu tiada sebarang kesan kecederaan pada mangsa.

Katanya, sehinggalah pada Isnin lalu keadaan fizikal mangsa mengalami perubahan termasuk kepala mangsa semakin membesar selain tidak bermaya.

"Suspek yang bimbang dengan perubahan keadaan mangsa membuat keputusan menghantar mangsa ke hospital dan sehingga kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi untuk pemantauan rapi.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 8:32 PM