Bapa kepada bayi perempuan yang meninggal dunia dipercayai akibat didera direman enam hari bermula hari ini.
Bapa kepada bayi perempuan yang meninggal dunia dipercayai akibat didera direman enam hari bermula hari ini.
Muhammad Apendy Issahak


BAPA kepada bayi perempuan berusia enam bulan yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping (HT), pagi kelmarin dipercayai akibat didera, direman enam hari bermula hari ini.

Pendaftar Mahkamah Majistret Taiping Noraisah Ahmad membenarkan tempoh reman sehingga 12 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap lelaki berusia 21 tahun itu.

Siasatan terhadap pekerja kantin kilang itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna unggu dibawa ke mahkamah pada jam 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, suspek ditahan pada awal pagi tadi selepas gagal menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi membantu siasatan kes kematian bayinya itu.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib dalam sidang media semalam mengesahkan bayi perempuan yang dipercayai didera meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia pada 7.30 pagi ketika dirawat di Wad Penjagaan Intensif Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

Sebelum itu, bayi berkenaan dihantar ke HT pada 6.30 petang Jumaat lalu selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh buaian di rumahnya di Kampung Paya Baru, Tekah, Taiping.

Pemeriksaan rapi serta laporan imbasan CT Scan menunjukkan bayi terbabit mengalami pendarahan otak dan mata.

Hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati punca kematian bayi berkenaan disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul.

Berita berkaitan

Jatuh buaian atau didera?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 12:18 PM