RUMAH bayi perempuan Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil berusia 6 bulan maut dipercayai di dera di Kampung Paya Baru, Tekah. FOTO L. Manimaran
RUMAH bayi perempuan Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil berusia 6 bulan maut dipercayai di dera di Kampung Paya Baru, Tekah. FOTO L. Manimaran
Muhammad Apendy Issahak


BAYI perempuan berusia enam bulan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping (HT), pagi semalam, dipercayai didera.

Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil disahkan meninggal dunia 7.30 pagi ketika dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, bayi berkenaan sebelum itu dihantar ke HT 6.30 petang Jumaat lalu selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh buaian di rumahnya di Kampung Paya Baru, Tekah, oleh ibu bapa berusia 21 dan 19 tahun.

“Berdasarkan laporan doktor yang merawat mangsa, bayi berkenaan sudah tidak sedar diri ketika dibawa ke hospital dan apabila doktor bertanyakan kepada ibu bapanya, mereka memberitahu mangsa terbabit jatuh dari buaian.

“Bayi berkenaan dirawat di NICU serta diberi bantuan pernafasan sebelum pemeriksaan rapi serta laporan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan bayi terbabit mengalami pendarahan otak dan mata,” katanya dalam sidang media, di Taiping, hari ini.

Mohamad berkata, pemeriksaan fizikal bayi bagaimanapun mendapati tiada sebarang kesan lebam semasa dimasukkan ke dalam wad.

“Selepas pemeriksaan rapi, doktor syak ada unsur penderaan sama ada dengan niat atau tidak.

“Kira-kira 7.30 pagi semalam bayi terbabit disahkan meninggal dunia dan laporan polis dibuat pihak hospital sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, keterangan daripada doktor yang merawat serta kedua ibu bapa bayi, diambil dan setakat ini kes berkenaan diklasifikasi sebagai kes dera dan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. “Hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul. “Susulan itu polis akan membuat tangkapan terhadap bapa bayi berkenaan yang berusia 21 tahun dan bekerja di kantin sebuah kilang untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohamad berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku di rumah keluarga ibu bayi berkenaan yang ketika kejadian hanya mangsa dan bapanya berada di rumah.

“Datuk dan nenek bayi berkenaan keluar bekerja, manakala ibunya yang tidak bekerja menghantar makanan kepada saudara di hospital.

“Bagaimanapun kira-kira 3 petang, bapa bayi terbabit dikatakan menghubungi isterinya memberitahu anak mereka pengsan sebelum isterinya bergegas pulang dan menghantar mangsa ke hospital menaiki kereta,” katanya.

Beliau berkata, semakan turut mendapati bapa bayi terbabit mempunyai satu rekod kesalahan lampau kerana memiliki kenderaan curi, manakala ujian air kencing terhadap ibu bapa bayi itu negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 8:19 PM