PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki hari kelima hari ini dengan pihak pendakwaan meneruskan hujah mengapa Mahkamah Persekutuan patut mengetepikannya.

Jumaat lepas, ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu wartawan beliau telah menyampaikan 20 peratus daripada 205 muka surat hujahannya.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria mendengar rayuan untuk mengetepikan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar yang disabitkan bersalah kerana meliwat.

Empat lagi hakim di dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Pihak pembelaan dijangka membalas hujahan pihak pendakwaan esok.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan yang dianggotai 14 peguam di antaranya N.Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 12:10 PM