Putrajaya: Pendengaran rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan meliwat dan hukuman penjara lima tahun, memasuki hari ketujuh hari ini di Mahkamah Persekutuan di sini, dengan pihak pembelaan membalas hujahan pihak pendakwaan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan 14 peguam mewakili Anwar memberitahu mahkamah pada 4 November bahawa peguam Ramkarpal Singh Deo akan mula berhujah dahulu dan beliau (Sri Ram) akan menggulung hujahan pihak pembelaan.

Pasukan pembelaan yang memulakan hujahan pada 28 Oktober untuk mendesak Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat, mengambil masa tiga hari untuk mengemukakan hujahan mereka.

Ketua pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang memulakan hujahan balas terhadap alasan pihak pembelaan pada 31 Oktober juga mengambil masa tiga hari untuk mengemukakan hujahannya.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendengar rayuan berkenaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap ketua pembangkang itu yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas ia meminda keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar.

Empat hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara Kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Rayuan pendengaran, pada mulanya ditetapkan dua hari bermula 28 Oktober telah berlarutan sehingga tujuh hari kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang panjang lebar.

Pihak pembelaan memohon untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan atas kesalahan meliwat manakala pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil untuk ujian daripada mangsa.

Mahkamah memutuskan bahawa sampel itu mungkin diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan, meminda keputusan Mahkamah Tinggi bahawa hakim perbicaraan terkilaf apabila meragui integriti sampel berdasarkan keterangan dua pakar saksi yang dipanggil pihak pembelaan.

Jika Anwar kalah dalam rayuannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh hilang kelayakan sebagai seorang anggota parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang anggota parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhkan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Ini adalah kes liwat kedua terhadap Anwar. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 11:04 AM