GAMBAR ini dirakamkan sebelum Anwar meninggalkan kediamannya untuk ke Istana Kehakiman di Putrajaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
GAMBAR ini dirakamkan sebelum Anwar meninggalkan kediamannya untuk ke Istana Kehakiman di Putrajaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Putrajaya: “Kena pergi sekarang, dah sampai masa. Saya akan merindui kalian,” begitulah ucapan kedengaran daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau kedengaran berkata demikian sambil memeluk sekumpulan rakan yang masuk ke dalam mahkamah untuk berjumpa beliau.

Terdahulu, dalam prosiding mahkamah yang bersambung pada 1.08 petang, selepas berehat sejam, peguam utamanya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, yang mengemukakan rayuan bagi hukuman lebih ringan, berkata tiada sebab yang kukuh untuk menambah tempoh hukuman penjara Anwar.

Beliau berkata, mahkamah boleh menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhi hukuman lebih ringan berdasarkan undang-undang terhadap Anwar.

Selain itu, katanya, Anwar bukanlah orang biasa berikutan sumbangannya yang begitu besar kepada negara sepanjang beliau berada dalam kerajaan.

Sri Ram berkata, malah sebagai pembangkang sekalipun, beliau memberi sumbangan penting dalam memajukan prinsip demokrasi dan membangkitkan kesedaran umum.

Bagaimanapun, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menolak rayuan balas pihak pendakwaan.

Panel itu, yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali, mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar.

Mereka membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili Anwar dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkaitan hukuman penjara itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 5:22 PM