ANTARA rampasan dalam empat serbuan operasi bersepadu di Sarawak pada 20 hingga 23 Mei lalu.
ANTARA rampasan dalam empat serbuan operasi bersepadu di Sarawak pada 20 hingga 23 Mei lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 14 lelaki termasuk 10 warga asing ditahan menerusi empat serbuan operasi bersepadu di Sarawak membabitkan rampasan lebih RM35 juta pada 20 hingga 23 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, operasi itu dijalankan pihaknya melalui Perisikan Siasatan Khas (PSK) bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Menurutnya, empat operasi itu adalah Op Taring Bravo 1, Op Taring Alpha 1 dan Op Taring Alpha 2.

"Pada 20 Mei lalu, kami bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak membuat tiga serbuan di Bintulu dengan serbuan pertama menahan seorang lelaki tempatan.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 32 liter diesel subsidi, 32 tangki IBC serta empat pam minyak beserta hos dianggarkan bernilai RM140,200," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pula berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 10,300 liter diesel subsidi, 16 tangki IBC, tiga pam beserta hos serta satu meter digital dianggarkan bernilai RM54,093.

"Serbuan ketiga membabitkan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai adalah hasil kerjasama risikan pihak polis dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA).

"Dalam serbuan itu, kami menahan enam lelaki warga asing dan merampas 7.72 liter minuman keras, 250,000 batang rokok dan dua van dianggarkan bernilai lebih RM3.11 juta," katanya.

Katanya, serbuan keempat pula disertai pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Miri yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan serta empat lelaki warga asing.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 146,720 diesel subsidi, dua bot tunda, kapal tangki minyak serta tiga pam minyak beserta hos, sebuah pacuan empat roda,lori, tangki skid, dua tangki besi serta dua tangki IBC dianggarkan bernilai lebih RM32 juta.

"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1976, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama," katanya.

Menurutnya, pihaknya menerusi PSK berjaya melakukan 82 serbuan di seluruh negara dengan penahanan 185 individu atas pelbagai kesalahan bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

"Ia membabitkan kesalahan berkaitan kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar.

"Keseluruhan rampasan dilakukan sepanjang tempoh itu dianggarkan bernilai lebih RM230 juta," katanya.

Beliau berkata, pihak polis komited dalam menguatkuasa dan membanteras ketirisan hasil negara khususnya melalui pelaksanaan operasi bersepadu yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan.

"Kerjasama daripada orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:49 PM