GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Guna kepakaran menghasilkan peluru senjata api buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar secara haram.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang dikesan turut menyalahgunakan senapang dimiliki secara sah bagi tujuan memburu haiwan liar dilindungi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penyalahgunaan senjata api untuk tujuan memburu hidupan liar diambil perhatian serius oleh pihaknya.

Beliau berkata, dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) disertai pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) VAT69, pihaknya menyerbu sebuah kediaman di Kampung Lawar, Belimbing, Jeli, Kelantan sekitar jam 1 pagi, Ahad lalu.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 30-an dan 60-an yang berada di kediaman itu ditahan untuk pemeriksaan.

"Siasatan kemudian menemui daging hidupan liar disimpan di dalam plastik di kediaman itu. Suspek gagal mengemukakan lesen atau permit yang membolehkannya menyimpan hidupan liar.

"Turut dirampas selaras senapang, tujuh butir peluru dan logam gabungan besi serta timah disyaki anak peluru buatan sendiri," katanya.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, salah seorang suspek cuba menyembunyikan satu unit logam gabungan besi dan timah disyaki anak peluru buatan sendiri.

Susulan itu, suspek ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta 716.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak Perhilitan dibantu VAT69 PDRM turut melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah rumah di Batu Melintang, Jeli, Kelantan, Ahad lalu.

Menurutnya, dua lelaki berusia 20-an dan 50-an ditahan untuk soal siasat sebelum selaras senapang turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Tindakan sama turut dilakukan di sebuah kediaman di Mukim Kalai, Jeli, Kelantan apabila seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan akibat kegiatan itu.

"Siasatan pihak kami menemui kepala kijang di rumah suspek. Suspek gagal mengemukakan lesen atau permit yang membolehkannya menyimpan hidupan liar berkenaan," katanya.

Menurutnya, satu laras senapang dan 24 peluru hidup turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Pemeriksaan dan operasi akan diteruskan bagi mengekang sebarang aktiviti pemburuan haram yang turut menjadi punca kepupusan pelbagai spesis haiwan liar dilindungi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:30 PM