Putrajaya: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kekal mengetuai pasukan pendakwaan bagi rayuan akhir kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan di sini, semalam, menolak cubaan terakhir Anwar dalam melucutkan kelayakan Muhammad Shafee dengan memohon perisytiharan lantikan peguam itu sebagai batal dan tidak sah.

Rayuan kes itu ditetapkan selama dua hari bermula 28 Oktober ini.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara menolak rayuan Anwar itu.

Turut bersidang Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Dalam penghakimannya, Hakim Arifin berkata, pihak pendakwaan mendapati Muhammad Shafee layak dan sesuai, tiada sebab untuk mahkamah mencampuri fungsi dan bidang kuasa.

"Kami berpendapat perlantikan itu tidak menjejaskan integriti pendengaran rayuan ini. Jika mahu mencabar perlantikan itu, forum yang lebih sesuai adalah melalui permohonan semakan kehakiman.

"Alasan bahawa perlantikan itu akan menyebabkan berlaku percanggahan kepentingan kerana Muhammad Shafee mempengerusikan panel tiga anggota siasatan SUHAKAM yang memutuskan pegawai penyiasat, Jude Blacious Pereira sebagai seorang saksi tidak bercakap benar, tidak memadai," katanya.

Sementara itu Anwar ketika ditemui selepas prosiding berkata, peguamnya yang diketuai Datuk Sulaiman Abdullah bersedia dengan prosiding rayuan yang dijadualkan 28 Oktober ini.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dengan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Anwar bagi pertuduhan meliwat dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Anwar bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Muhammad Shafee dilantik Peguam Negara secara 'fiat' (pemberian kuasa) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:11 AM