PESERTA di bawah program BTDP di bawa menyaksikan Masters Malaysia. -FOTO PERODUA
PESERTA di bawah program BTDP di bawa menyaksikan Masters Malaysia. -FOTO PERODUA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seramai 27 pelajar termasuk 18 daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP), iaitu program usaha sama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PERODUA hadir memberi sokongan kepada pemain negara yang berentap di Masters Malaysia di Axiata Arena, semalam.

BTDP ialah program yang bermula sejak 2018, bertujuan mencungkil bakat di kalangan murid peringkat sekolah rendah dengan misi dapat mewakili negara suatu hari nanti.

Pelajar yang hadir ialah peserta BTDP yang diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) manakala sembilan daripadanya terpilih ke sekolah berkenaan menerusi kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Menurut salah seorang peserta program Muhammad Luqman Hakim Yusof Daneel, 17 berkata, mimpiannya ingin menjadi seperti legenda negara, Datuk Rashid Sidek ataupun bekas juara dunia lima kali, Lin Dan dari China.

"Saya pernah menjalani latihan di bawah kendalian Rashid pada usia 12 tahun sebelum terpilih menyertai BTDP dan ke SSBJ, oleh kerana itu saya ingin mencontohi beliau," katanya yang berasal dari Selangor.

Seorang lagi peserta Datu Anif Isaac Datu Asrah berkata, impiannya adalah untuk menjadi seperti bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"PERODUA banyak membantu kami terutama dalam menaja kos latihan, keperluan serta pertandingan di luar negara sekali gus membuka laluan buat kami mencipta nama sebagai pemain badminton yang terbaik," kata pelajar berusia 17 tahun yang berasal dari Sabah.

Kesemua peserta BTDP itu juga diberikan peluang bersama-sama pengunjung bertemu dengan beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada sesi Beramah Mesra di ruang pameran PERODUA.

Ketika ini BTDP dengan 140 jurulatih ini melatih seramai 2,800 murid-murid sekolah rendah di 70 pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara.

Kebanyakan anak-anak ini adalah berasal daripada golongan keluarga berpendapatan sederhana yang mana PERODUA dan KPM mengambil inisiatif mengubah kehidupan anak-anak ini dengan menghidupkan impian dan membuka laluan buat mereka mewakili sekolah, negeri dan mungkin satu hari nanti mewakili Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:29 PM