(Kiri) Abdul Rahim bersama anaknya Muhammad Luth menziarah kubur isteri dan anak sulungnya. (Kanan) Kenangan Abdul Rahim dan Muhammad Luth bersama Khoirul Bariyyah dan Muhammad Althaf yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kelantan. FOTO Ihsan Abdul Rahim Mohd Nawi
(Kiri) Abdul Rahim bersama anaknya Muhammad Luth menziarah kubur isteri dan anak sulungnya. (Kanan) Kenangan Abdul Rahim dan Muhammad Luth bersama Khoirul Bariyyah dan Muhammad Althaf yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kelantan. FOTO Ihsan Abdul Rahim Mohd Nawi
Noor Hidayah Tanzizi


Shah Alam: Kehilangan isteri tersayang dan anak bongsu dalam kemalangan sejak lebih setahun lalu meninggalkan kesan mendalam buat lelaki ini hingga pernah membuatkan dirinya berasa bersalah namun dia bangkit menguatkan semangat demi seorang lagi anaknya yang sedang membesar.

Itu yang dilalui Abdul Rahim Mohd Nawi, 30, yang kehilangan isteri, Khoirul Bariyyah Mohamed Sokeri dan anak bongsunya, Muhammad Althaf yang meninggal dunia dalam kemalangan di Chiku 2, Gua Musang di Kelantan 20 Januari tahun lalu.

Kemalangan itu berlaku ketika Abdul Rahim bersama isteri serta dua anak lelaki iaitu Muhammad Luth dan Muhammad Althaf dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kota Bharu dari rumah mereka di Shah Alam, di sini.

Berkongsi kisahnya, anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) itu berkata, kemalangan itu meragut nyawa isteri yang ketika itu berusia 28 tahun dan anak bongsunya berusia setahun 11 bulan di lokasi kejadian, manakala dia dan Luth cedera.

"Biarpun kejadian sudah berlaku lebih setahun namun detik hitam itu tidak pernah luput daripada ingatan dan saya masih ingat apa yang berlaku. Saya reda dengan pemergian mereka dan menerima ketentuan takdir Illahi.

"Cuma untuk menerima sepenuhnya mengambil masa kerana ia berlaku di depan mata saya, malah saya berasa 'down' dan pernah menyalahkan diri atas apa yang berlaku namun dengan sokongan keluarga dan keluarga mentua serta pihak majikan saya kuatkan semangat kerana saya masih ada Luth," katanya.

Katanya, dia kini menjaga Muhammad Luth seorang diri dan mengambil keputusan untuk tidak berpindah tempat bertugas dan rumah kerana baginya rumah itu mempunyai kenangan yang menguatkan dirinya untuk meneruskan kehidupan.

"Saya nekad menguruskan Luth kerana dia penguat semangat saya dan bersyukur Allah SWT 'tinggalkan' dia untuk saya dan daripada insiden itu banyak mengajar saya untuk muhasabah diri dan menerima semua takdir dengan reda," katanya.

Berhubung perkongsiannya videonya di TikTok yang meraih 4.4 juta tontonan dan ribuan komen yang mendoakan mereka, Abdul Rahim berkata, dia terharu dan berterima kasih dengan sokongan serta doa netizen terutama untuk isteri dan anak.

Katanya, video yang memaparkan gambar kenangan mereka sekeluarga bukan untuk meratapi atau masih tidak menerima hakikat namun ia hanya untuk dijadikan kenangan sahaja.

Mengimbas kejadian, Abdul Rahim berkata, dia dan dua anak tercampak keluar daripada kereta dan dia yang tidak berdaya berjalan hanya merangkak ke arah isteri yang memaklumkan dirinya tidak sakit namun sukar bernafas.

"Ketika itu saya dalam keadaan sekejap sedar, sekejap tidak sedar dan saya ada dengar isteri berulang kali cakap 'habib, maafkan sayang' ketika saya sedang kelam kabut minta orang cari anak dan sudah tidak dengar suaranya lagi," katanya.

Katanya, sebaik ambulans tiba dia meminta pihak berkenaan menyelamatkan isterinya terlebih dahulu kerana dia bimbang suara wanita itu sudah tidak kedengaran sebelum dia dibawa ke klinik berhampiran untuk diberikan rawatan.

"Di hospital barulah saya tahu isteri dan anak bongsu saya sudah tiada. Perasaan ketika itu hanya Allah SWT saja yang tahu kerana saya kehilangan dua insan tersayang sekali gus.

"Saya dan Luth dihantar ke Hospital Kuala Krai, manakala arwah isteri dan anak dihantar ke Hospital Gua Musang. Ketika itu saya minta bantuan pihak TUDM membawa jenazah mereka ke hospital untuk melihatnya buat kali terakhir.

"Alhamdulillah, walaupun tak dapat menguruskan urusan pengebumian anak dan isteri namun saya dapat jumpa mereka buat kali terakhir sebelum berpisah buat selamanya dan itu akan terus kekal dalam ingatan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:35 PM