MURID berkenaan menerima rawatan di Hospital Ampang selepas mendakwa didenda berjemur di padang sekolah. FOTO Ihsan pembaca.
MURID berkenaan menerima rawatan di Hospital Ampang selepas mendakwa didenda berjemur di padang sekolah. FOTO Ihsan pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Seorang murid tahun 5 terpaksa dikejarkan ke hospital selepas didakwa didenda berjemur di padang sekolah, di sini, 30 April lalu.

Ibu mangsa dikenali sebagai Mogahana, 35, berkata, anak lelakinya berusia 11 tahun memaklumkan kepadanya bahawa dia serta rakannya didenda berjemur di padang sekolah dari jam 10 pagi hingga 12.50 tengah hari pada hari kejadian.

"Anak maklumkan kepada saya bahawa dia ada membuat aduan kepada cikgu itu kerana ada murid lain memukulnya.

"Tetapi cikgu itu mengambil tindakan mendenda anak saya supaya berjemur di padang sekolah.

"Anak saya ada mengadu pening kepala kepada cikgu berkenaan (semasa dijemur) tetapi aduan itu tidak diendahkan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, selepas mengambilnya pulang dari sekolah pada hari kejadian, anaknya kelihatan lemah dan tidak ada selera makan.

"Malah, dia minta saya hantar ke hospital kerana merasa sakit. Sebaik tiba di Hospital Ampang, dia terus pengsan.

"Doktor yang merawatnya kemudian memaklumkan dia mengalami 'heat exhaustion'," katanya yang turut memuat naik rakaman video menceritakan mengenai perkara itu di Facebook, Khamis lalu.

Mogahana yang juga suri rumah berkata, beliau kesal dengan tindakan cikgu lelaki berkenaan yang mengenakan denda sedemikian sehingga kesihatan anaknya terjejas.

"Saya tidak puas hati dengan tindakan dan penjelasan diberikan oleh cikgu berkenaan dalam hal ini bukan kerana anak saya tidak boleh didenda tetapi ia keterlaluan sehingga memudaratkan kesihatan.

"Justeru, saya minta pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperhalusi denda atau hukuman dikenakan cikgu terhadap murid-murid," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat ibu mangsa berhubung kejadian terbabit pada 30 April lalu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami 'heat exhaustion'.

"Siasatan mendapati suspek yang juga guru sekolah terbabit berusia 37 tahun memberi hukuman denda berdiri terhadap mangsa bersama tiga rakannya yang lain selama 10 minit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Kami mendapati terdapat sebuah video tular di media sosial membabitkan ibu mangsa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan tidak puas hati dengan cara pengendalian kes terbabit.

"Bagaimanapun, tiada aduan rasmi diterima daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu setakat ini," katanya yang memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 5:49 PM