ANWAR bertemu penyokong di pekarangan Istana Kehakiman, semalam.
ANWAR bertemu penyokong di pekarangan Istana Kehakiman, semalam.
Oleh Murni Wan Omar

Putrajaya: Keterangan tidak konsisten dengan kelakuan dan diragui antara alasan utama dikemukakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, di sini, semalam.

Anwar, 67, yang diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram mendakwa keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, tidak konsisten dengan kelakuan bekas pembantu peribadinya itu sendiri.

Di dalam hujahnya, Gopal merujuk kepada foto yang memaparkan Mohd Saiful sedang menghidangkan teh di dalam perjumpaan Anwar bersama beberapa individu di kediamannya.

Gopal berkata, foto itu dirakamkan sehari selepas kejadian liwat didakwa berlaku iaitu pada 27 Jun 2008.

“Mohd Saiful mendakwa diliwat dan berada dalam keadaan ketakutan. Bagaimanapun, kelakuannya ketika itu adalah seperti individu normal lain.

“Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam membuat penilaian mereka terhadap isu ini,” katanya.

Rayuan kes ini didengar di hadapan panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Md Raus Sharif bersama-sama Tun Arifin Zakaria, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Selain Gopal yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Anwar turut diwakili 14 peguam lain iaitu R Sivarasa, N Surendran, Ramkarpal Singh, Sangeet Deo Kaur, J Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:17 AM