Muhammad Asmawi dan Esther Ezhil Nanggai bersama trofi APBN 2024. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Muhammad Asmawi dan Esther Ezhil Nanggai bersama trofi APBN 2024. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pemuda mengasaskan tiga jenis perniagaan dan berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada belia di Pahang menjadi penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024.

Muhammad Asmawi Sulaiman, 28, menerima anugerah itu bagi kategori individu lelaki yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan, hari ini

Muhammad Asmawi yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, ketiadaan dana bukan halangan untuk dirinya berbakti kepada masyarakat dengan mewujudkan perusahaan sosial termasuk meminjam daripada bank untuk mengumpul dana serta akhir dalam persatuan pengakap dan aktiviti sukarelawan.

Katanya, dia bermula dengan melakukan jualan amal barangan terpakai bagi mengumpul dana sendiri untuk disumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan termasuk ketika pandemik Covid-19 tanpa bergantung kepada sumbangan agensi kerajaan dan korporat semata-mata.

"Saya mencari dana sendiri dan dapat membantu masyarakat yang memerlukan di luar sana dan dapat juga membuat aktiviti pembangunan belia.

"Seperti kita tahu NGO (pertubuhan bukan kerajaan) ataupun belia ini berdepan masalah kewangan, jadi fokus kami adalah untuk tingkatkan ekonomi dan bantu lebih ramai lagi orang yang memerlukan di luar sana melalui program belia.

"Hasil jualan inilah kami gunakan untuk kos minyak, membeli pek makanan dan membaiki dan membeli kelengkapan rumah mangsa banjir ketika membantu masyarakat sebagai sukarelawan," katanya ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.

Mengulas lanjut Muhammad Asmawi berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul pulangan antara RM30,000 ke RM50,000 sebulan melalui perniagaan yang dijalankan dan sebahagiannya disumbangkan semula kepada masyarakat.

"Alhamdulillah bermula dengan 'jualan bonet kereta', pasar malam dan juga secara dalam talian, kami berjaya membuka kedai fizikal pada 2021.

"Setahun kemudian, kami berjaya membuka empat lagi cawangan di Kuantan, Temerloh dan Jengka dan sambutan daripada komuniti amat menggalakkan yang menyokong kejayaan perniagaan kami," katanya lagi.

Mengulas APBN 2024 yang diraih,Muhammad Asmawi berkata, beliau bersyukur atas kejayaan itu dan berterima kasih kepada seluruh keluarga dan kepimpinan belia di Pahang.

"Saya rasa teruja tak terhingga sebab ini (anugerah) sebagai suntikan semangat untuk saya terus menawar bakti melalui pergerakan belia kepada masyarakat.

"Harapan saya melalui anugerah ini menjadi inspirasi kepada belia-belia di luar sana untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat melalui pergerakan belia secara berpersatuan atau individu," katanya yang terpilih daripada 30 calon dari Pahang.

Sementara itu, penerima APBN 2024 Kategori Individu Wanita, Esther Ezhil Nanggai,21, berkata dia tidak menyangka menjadi johan dan berharap ia menjadi pencetus semangat untuk meneruskan pembabitan dalam pertubuhan belia.

Penuntut Tahun Pertama Universiti Malaya jurusan Pengajian Antarabangsa itu berkata, pengalaman aktif dengan pertubuhan belia banyak memberinya peluang untuk meneroka pelbagai bidang termasuk aktiviti kemasyarakatan.

"Belia sebagai aset negara perlu berpandangan jauh bukan hanya memberi fokus kepada keadaan sekeliling sahaja.

Sementara itu penerima APBN 2024 kategori individu wanita, Esther Ezhil Nanggai, 21, berkata dia tidak menyangka menjadi johan dan berharap ia menjadi pencetus semangat untuk meneruskan pembabitan dalam pertubuhan belia.

Penuntut Tahun Pertama Universiti Malaya jurusan Pengajian Antarabangsa itu berkata, pengalaman aktif dengan pertubuhan belia banyak memberinya peluang untuk meneroka pelbagai bidang termasuk aktiviti kemasyarakatan.

"Belia sebagai aset negara perlu berpandangan jauh bukan hanya memberi fokus kepada keadaan sekeliling sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:32 PM