DR Mohd Izhar Ariff. FOTO NSTP.
DR Mohd Izhar Ariff. FOTO NSTP.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Umat Islam perlu menghormati perkuburan seperti yang diajarkan Nabi Muhammad SAW, kata Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Menurutnya, Allah SWT menjadikan manusia sebaik-baiknya ciptaan dan anak Adam dicipta dengan penuh kemuliaan maka ketika hidupnya dimuliakan dan ketika mati juga dimuliakan.

"Oleh sebab itu Nabi SAW menyuruh kita untuk menghormati perkuburan supaya tak melakukan perkara bercanggah dengan agama antaranya khurafat, menyembah dan melangkah kubur begitu juga datang ke kubur tanpa adab dan sebagainya.

"Nabi SAW juga mengajar apabila kita datang (atau) berada di kawasan perkuburan kita (perlu) memberi salam kepada ahli kubur," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, rakaman video memaparkan dua wanita melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan tular di media sosial, hari ini mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatan itu melampaui batas dan tidak menghormati agama serta waris pemilik kubur berkenaan.

Mohd Izhar berkata, beliau berharap apa yang berlaku seperti dalam video tular membabitkan dua wanita itu dapat dijadikan sebagai pengajaran.

"Ia supaya kita tidak melakukan atau tidak bermain dengan perkara membabitkan hukum (berkaitan agama) selain berharap individu itu insaf dan memohon maaf," katanya.

Berita berkaitan

Melampau, tak hormat agama dan pemilik kubur

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:59 PM