AGUERO (kanan) pemusnah impian United raih mata di Etihad.
AGUERO (kanan) pemusnah impian United raih mata di Etihad.

Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal percaya pasukannya semakin hampir mengecapi prestasi setaraf pasukan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun mencipta permulaan terburuk awal musim sejak 1986.

Selepas seri 1-1 dengan pendahulu liga, Chelsea dua minggu lalu, United kalah 0-1 kepada Manchester City dengan Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan selepas pertahanan United, Chris Smalling diperintah keluar padang.

United juga kehilangan pertahanan tengah dari Argentina, Marcos Rojo yang mengalami kecederaan bahu, tetapi walaupun juara liga 20 kali itu ketinggalan 13 mata berbanding pendahulu, Chelsea, Van Gaal percaya mereka kini semakin meningkat.

"Walaupun berdepan masalah kecederaan, kami semakin hampir dengan Chelsea dan minggu ini kami sangat hampir, tetapi tidak dapat menyamai mereka, kami perlu meningkatkan lagi persembahan," katanya.

Aguero menjaringkan gol pada minit ke-63 selepas Smalling dilayangkan dua kad kuning pada separuh masa pertama kerana menghalang Joe Hart melakukan sepakan dan menjatuhkan James Milner, tetapi United berjaya menamatkan perlawanan dengan tabah.

"Sudah tentu sebagai jurulatih atau pengurus, anda boleh berbangga dengan aksi 20 minit terakhir kerana mereka menunjukkan usaha yang menakjubkan dan kami mampu menjaringkan gol pada waktu itu.

"Saya melihat usaha yang dilakukan pasukan ini dan saya anggap mereka menakjubkan, tetapi kami masih lagi ketinggalan 13 mata selepas 10 perlawanan dan ia tidak terlalu banyak," kata Van Gaal sambil menganggap tindakan Smalling sebagai kurang bijak.

Kenyataan Van Gaal disokong ketua pasukan, Wayne Rooney yang bermain sedikit ke belakang di bahagian serangan selepas kembali beraksi daripada penggantungan tiga perlawanan.

"Kami harus terus fokus. Anda dapat lihat setiap minggu kami menunjukkan peningkatan. Kami tidak terlalu jauh dengan pasukan yang mendahului liga dan turut menjadi sebuah pasukan yang bagus.

"Kami datang ke sini untuk mencatat keputusan yang bagus, meninggalkannya tanpa sebarang mata dan kami sangat kecewa," kata penyerang England itu.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:01 AM