London: Pertahanan kanan Southampton, Nathaniel Clyne (gambar) percaya bermain pada Liga Juara-Juara ‘satu langkah ke hadapan’ dalam kariernya ketika dia berusaha mengekalkan tempatnya dalam skuad England.

Pemain berusia 24 tahun itu dilapor menarik minat Chelsea dan Manchester United namun ketika berasa ‘teruja’ mengenainya, dia menegaskan tumpuannya kini membantu Saints berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana.

“Saya berasa teruja dengan minat kelab besar. Ia membuktikan saya bertindak baik dan mempunyai musim yang bagus.

“Saya pastinya bercita-cita tinggi. Setiap pemain mahu beraksi pada Liga Juara-Juara selain menang trofi dan kejuaraan. Itulah sebabnya anda bermain bola sepak, itulah impiannya.

“Saya katakan (bola sepak Liga Juara-Juara) satu langkah ke hadapan bagi peningkatan saya. Saya memerlukan pengalaman beraksi dalam pertandingan Eropah.

“Kami bertindak baik bersama Southampton dan berharap boleh layak. Ia pasti hebat. Saya hanya menumpukan terhadap Southampton. Ada beberapa perlawanan lagi yang perlu diharungi dan saya hanya fokus kepada usaha memburu tangga keempat.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 9:12 AM