London: Southampton berharap pengurus Manchester United, Louis van Gaal tidak akan menggandingkan Wayne Rooney dan Robin van Persie membentuk gandingan serangan untuk perlawanan Liga Perdana di St Mary, awal pagi esok.

Van Gaal berkata, Rooney akan kembali beraksi selepas pulih kecederaan lutut yang menyebabkannya terlepas beraksi ketika menang 2-1 mengatasi Stoke City di tempat sendiri, Isnin lalu.

Kapten United dan Van Persie, penyerang Belanda itu menikmati banyak kejayaan menentang Southampton sebelum ini, berkemungkinan bergandingan di bahagian depan biarpun Van Gaal boleh menurunkan penyerang Colombia yang kembali cergas, Radamel Falcao.

Rooney meledak lima gol dalam semua perlawanan beraksi dalam kesebelasan utama bersama United menentang kelab pantai selatan itu dan Van Persie juga pernah menjaringkan lima gol menentang mereka termasuk hatrik di St Mary dua tahun lalu.

Southampton berada di tangga ketiga, tewas pada dua perlawanan terakhir mereka menentang Manchester City dan Arsenal tetapi Van Gaal yakin mereka dapat meningkatkan usaha memperbaiki kedudukan kelayakan Liga Juara-Juara pada penghujung musim.

“Mereka memiliki skuad bagus,” kata Van Gaal.

“Saya rasa mereka mampu menamatkan saingan dalam kedudukan empat teratas dan saya juga berasa yakin terhadap pengurus, Ronald Koeman. Saya yakin keserasian mereka berada pada tahap terbaik.”

Dua pengurus dari Belanda terbabit juga pernah dipalit pertelagahan berprofil tinggi sewaktu berada di Ajax Amsterdam sedekad lalu.

“Hubungan saya bersama Ronald Koeman tidak perlu dijelaskan kerana bersifat peribadi,” kata Van Gaal.

“Kami menentang Southampton dan kami perlu bercakap mengenai pasukan berbanding jurulatih. Kita hanya akan menilai hubungan itu selepas perlawanan berakhir.”

United ketinggalan satu mata di belakang Southampton yang berada di tangga keempat akan beraksi tanpa pemain sayap Argentina, Angel Di Maria akibat masalah hamstring. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:03 AM