Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Pasir Gudang: Bekas pemain kebangsaan, Tukamin Bahari, 58, yang pernah membantu negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow 1980, meninggal dunia akibat angin ahmar.

Anak allahyarham, Nur Syafiqah, 21, ketika dihubungi berkata, ayahnya itu mula dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru selepas pengsan dan mengalami sawan kira-kira 11 pagi kelmarin.

"Ayah mula diserang angin ahmar peringkat permulaan (minor stroke) sejak awal Raya Haji lalu dan dirujuk ke HSA namun doktor membenarkannya pulang.

"Selepas itu ayah berubat secara tradsional dan semakin pulih namun kelmarin kira-kira 11 pagi arwah pengsan ketika berada di kediaman keluarga di Taman Pasir Putih di sini dan dibawa ke HSA.

"Doktor sahkan arwah ayah diserang angin ahmar peringkat kedua dan kira-kira lapan pagi tadi saya mendapat panggilan daripada kakak yang memaklumkan ayah meninggal dunia ketika di dalam tidur," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Allahyarham Tukamin dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Baru Masai di sini selepas Zohor, hari ini.

Allahyarham meninggalkan lima anak dan seorang balu, Jasmi Sulong 50-an.

Allahyarham ialah pemain Johor FA dan membantu negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow 1980 selepas mengalahkan Korea Selatan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Skuad negara ketika itu diwakili Ong Yu Tiang, D Davendran, Ramli Junit, Peter Rajah, Zulkifle Hamzah, Abdullah Ali, S Puspanathan, James Wong, Soh Chin Aun, Khalid Ali, Santokh Singh, Mohammad Bakar dan Karl Weigang (jurulatih).

Selain itu, Hassan Sani, Kamaruddin Abdullah, R Arumugam, Wan Jamak Hassan, Abdah Aliff, Jamal Nasir dan Shukor Salleh.

Allahyarham juga pernah mewakili negara dalam saingan Piala Asia 1980.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:00 PM