SUNYI ketika di AS.
SUNYI ketika di AS.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Juliana Evans sepatutnya berangkat ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat pada Mei lalu, namun menangguhkan hasrat itu berikutan komitmen kerja yang kian padat.

Sekembalinya ke tanah air pada awal tahun ini, si cantik yang mesra membahasakan dirinya Jue itu tidak menang tangan menyambut pelbagai tawaran.

Semuanya sudah diatur awal syarikat pengurusannya, Uprising Entertaiment.

“Alhamdulillah, keputusan pulang ke tanah air berbaloi apabila rezeki saya tidak putus. Selain sibuk de­ngan penggambaran filem dan drama, saya turut dilantik menjadi duta tiga produk.

“Buat masa ini saya belum ada tarikh tetap berangkat ke LA. Visa kerja pun belum siap lagi,” katanya.

Dua tahun berada di perantauan, Jue bangga melihat perubahan besar industri hiburan tanah air.

Meskipun masih ada kelemahan dalam beberapa aspek, ia permulaan baik untuk industri terus berkembang.

“Berbanding dulu, industri kita sudah banyak berubah. Kalau nak diulas satu persatu, sampai esok pun tak habis. Cukup jika saya katakan, kita sudah boleh berbangga dengan industri hiburan tempatan.

“Jika senario positif ini berterusan, tidak mustahil segala kelemahan yang ada dapat diperbaiki,” katanya.

Jue yang pernah dikaitkan bercinta dengan pelawak Zizan Razak enggan dihimpit sebarang kontroversi.

Biarpun menyedari kerjaya glamor yang dipilih terdedah dengan risiko itu, Jue bersyukur kerana sejak pulang dari luar negara belum terpalit dengan cerita kurang enak dan berharap keadaan itu mampu dikekalkan.

“Kalau boleh saya tidak mahu dikaitkan dengan kontroversi atau digosipkan dengan mana-mana artis lelaki.

“Soal pasangan, kalau boleh saya mahu cari di luar bidang seni. Orangnya biarlah merendah diri dan memahami kerjaya saya,” katanya.

Nikmat berpuasa di negara sendiri

Akui Jue pengalaman berpuasa di negara orang selama dua tahun membuka matanya betapa indah menyambut Ramadan di tanah air.

Ketika menetap di Michigan, Amerika Syarikat (AS), hidupnya sunyi meskipun dikelilingi rakan sekuliah bahkan bulan penuh rahmat itu seakan-akan hilang serinya.

“Syukur, puasa kali ini saya di Malaysia. Suasana di sini lebih meriah dan seronok.

“Ketika di AS, tak terasa suasana menyambut Ramadan dan Syawal. Saya rasa sunyi sangat. Ketika itulah baru saya sedar hidup di negara orang tidak seindah berada di negara sendiri,” katanya.

Jue turut berkongsi perasaan terharu dan teruja apabila berpeluang bersahur serta berbuka puasa dengan keluarga tersayang.

“Detik ini yang paling saya rindu. Ia secara tidak langsung buat saya lebih menghargai masa bersama keluarga.

“Puas hati dapat makan pelbagai juadah enak. Saya pula bukan jenis cerewet, apa saja yang terhidang atas meja saya makan,” katanya.

Menyentuh jadual sepanjang Ramadan, Jue yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem Oh My English! berkata, dia akan terikat dengan bebarapa penggambaran selain perlu menjayakan sesi fotografi sebagai duta produk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:42 AM