Juliana Evans
Juliana Evans
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Nama pelakon Che Puan Juliana Evans disenaraikan dalam buku ensiklopedia Britishpedia sebagai antara Individu Berjaya Di Malaysia 2021 oleh British Publishing House.

Juliana atau mesra disapa dengan panggilan Jue berkata, sepanjang pandemik Covid-19 dia banyak bekerja dari rumah menerusi perniagaan diusahakan, Jevans Jewelry.

"Ini adalah satu pencapaian sepanjang 2021 buat saya apabila menjadi individu yang tersenarai sebagai Individu Berjaya di Malaysia 2021. Terima kasih kepada Britishpedia.

"Sepanjang dua tahun pandemik ini berlaku, saya berikan tumpuan penuh kepada perniagaan saya, Jevans Jewelry yang mana, saya kini seronok bekerja dari rumah," katanya.

Jue menerusi hantaran di Instagram turut menasihati pengikutnya bagaimana untuk terus fokus dan bersemangat mengejar kejayaan.

"Apa yang ingin saya tekankan, dalam kehidupan bermasyarakat, ada kalanya kita akan dihakimi. Nasihat saya, diam, tutup sebelah mata dan fokus kepada diri sendiri sehingga berjaya.

"Hanya anda sahaja yang tahu betapa kerasnya anda bekerja dan berapa banyak usaha yang anda lakukan untuk meraih kejayaan. Jangan biarkan orang lain jatuhkan semangat anda," katanya.

Jue turut memuat naik beberapa gambarnya bersama buku ensiklopedia itu. Britishpedia adalah material yang diterbitkan dan berkisar mengenai biografi tokoh-tokoh serta personaliti yang berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:50 PM