PATUH amalan berpantang sehingga langsung tak keluar rumah.
PATUH amalan berpantang sehingga langsung tak keluar rumah.
Ridzuan Abdul Rahman


Naluri dan sifat keibuan yang mendalam membuatkan pelakon dan pengacara, Che Puan Juliana Evans fokus terhadap bayinya, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah berbanding perkara lain.

Walaupun merindui bidang lakonan, Juliana atau Jue, 30, belum sedia kembali aktif dalam masa terdekat.

“Tak dinafikan perasaan rindu berlakon dan turun ke set penggambaran itu ada. Namun memikirkan anak saya masih kecil, perasaan itu dipendamkan buat seketika.

“Mungkin selepas usianya mencecah enam bulan, baru saya fikirkan untuk kembali aktif,” katanya yang akan lebih memilih untuk menerima tawaran berlakon selepas ini.

Jue yang mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah pada April 2017 juga perlu berehat kerana belum habis tempoh berpantang.

“Dalam hal ini, saya lebih selesa ikut nasihat ibu dan ibu mentua supaya menjalani amalan berpantang secara tradisional. Saya turut mendapatkan khidmat bidan untuk memastikan segala petua dan penjagaan dapat dilakukan dengan konsisten.

“Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik menjelang tempoh tamat berpantang beberapa hari lagi,” katanya.

Jue berkata, dia memang patuh dengan pantang larang sehingga langsung tidak keluar rumah.

“Hanya apabila ada urusan penting dan kerja, baru saya keluar seketika,” katanya yang ditemui pada pelancaran portal e-commerce, Cantix, baru-baru ini.

Pelakon drama, KAMI - The Series dan filem Bella & Jamie ini turut memberitahu belum berhasrat membuka akaun Instagram khusus buat anaknya yang dilahirkan pada 13 Julai lalu.

“Biarlah perkembangan anak hanya dikongsi di laman sosial saya. Lain orang lain caranya. Selebriti lain mungkin mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian, tapi saya dan suami belum terfikir ke arah itu.

“Saya sibuk uruskan keluarga dan pada masa sama mengendalikan tiga lagi akaun Instagram, terutama berkaitan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:20 AM