JULIANA Evans terpaksa tolak tawaran berlakon sebaik dimaklum hamil untuk elak risiko terhadap bakal zuriat.
JULIANA Evans terpaksa tolak tawaran berlakon sebaik dimaklum hamil untuk elak risiko terhadap bakal zuriat.
Zaara Talita


SESEORANG ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas demi zuriat kesayangannya.

Pendekatan yang sama dibuat pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans, 34, atau lebih mesra dengan sapaan Jue yang terpaksa mengenepikan tawaran berlakon diterima sebaik saja mengetahui dirinya hamil anak kedua.

Enggan mengambil risiko yang boleh memberi kesan terhadap kandungan, Juliana atau lebih mesra dengan sapaan Jue bersyukur pihak produksi memahami keadaan dan situasinya.

"Saya terpaksa lepaskan tawaran yang saya terima sebaik saja mengetahui mengenai kehamilan ini. Saya hubungi pengarah dan maklumkan kondisi diri yang tidak mengizinkan.

"Tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak, jadi saya mengambil keputusan mengundurkan diri saja. Saya yakin ada rezeki lain pada masa akan datang. Cuma kali ini, saya harus berkorban demi kandungan kerana terdedah dengan pelbagai risiko.

"Apatah lagi, ketika trimester pertama saya alami alahan teruk berbanding kehamilan pertama. Bukan saja sering muntah-muntah, malah saya juga tiada selera untuk makan. Justeru, saya tidak bertenaga untuk melakukan apa-apa ketika itu," katanya.

Bakal melahirkan cahaya mata kedua awal Julai ini, Jue juga teruja apabila bakal dikurniakan anak perempuan yang bakal menjadi peneman buat anak sulungnya.

"Saya gembira bakal dikurniakan anak perempuan lagi. Saya mahu anak saya ada adik-beradik perempuan. Saya seorang saja perempuan dalam adik- beradik, jadi saya tahu perasaannya bagaimana.

"Ia agak sunyi dan saya suka bila tengok adik-beradik perempuan bersama. Jadi, anak-anak saya nanti boleh jadi kawan baik. Mungkin untuk kehamilan seterusnya nanti, kami akan dikurniakan cahaya mata lelaki. Insya-Allah," katanya.

JUE bahagia di samping keluarga.
JUE bahagia di samping keluarga.

Berkahwin dan menjalani kehidupan bahagia sebagai isteri kepada kerabat diraja Johor dan Selangor, Tengku Shariffuddin Shah sejak 2017, Jue tetap memilih cara hidup sederhana sama seperti sebelum ini.

Kata Juliana atau nama nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans, benar ada beberapa perkara yang perlu mengikut protokol istana namun dia tetap individu yang sama.

Jue yang memulakan karier seninya sejak berusia 12 tahun kini lebih selesa untuk hidup secara santai dan tenang.

Katanya, dia tidak dapat menepis tanggapan segelintir pihak yang dia sudah tidak menerima sebarang tawaran berlakon kerana statusnya.

"Sejak beberapa tahun lalu, saya ada terdengar mengenai cerita yang saya sudah tidak lagi menerima tawaran berlakon, malah ada juga yang menganggap saya tidak memerlukan 'wang' berkenaan. Namun ini 'passion' saya sejak dulu lagi.

"Mana mungkin saya tinggalkan bidang ini kerana saya begitu mencintai apa yang saya lakukan. Cuma pihak produksi perlu memahami komitmen saya sebagai isteri dan ibu.

"Selebihnya, saya tidak dapat kawal, setiap orang ada persepsi dan pandangan mereka sendiri," katanya.

Jue mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah pada April 2017.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Tengku Kamaliah Zanariah Josephine Ehsan Shah yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 6:00 AM