ISMAIL (tengah) gesa anak buah benam Kelantan.
ISMAIL (tengah) gesa anak buah benam Kelantan.

Kuala Lumpur: Pengendali Sime Darby FC, Ismail Zakaria lega apabila skuad kendaliannya bakal beraksi di halaman sendiri pada Selasa ini, selepas aksi bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV ditunda FAM berikutan perkarangan stadium digunakan bagi program Madinah Ramadan sepanjang bulan mulia ini.

Menurut Ismail, adalah penting untuk pasukannya meneruskan perjuangan dalam kempen Liga Super dengan catatan kemenangan sekaligus memperbaiki kedudukan pasukannya ditangga tercorot liga setakat ini.

“Saya gembira apabila kami akan memulakan aksi di gelanggang sendiri berbanding di tempat lawan kerana kita amat memerlukan tiga mata bagi menambah mata.

“Kelantan tetap menjadi lawan kami pada Selasa depan, cumanya bermain di depan penyokong kami. Saya harap, anak buah saya dapat mencipta kemenangan dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri,” katanya.

Mengulas pertemuan menentang naib juara Piala FA itu, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata, pasukannya perlu berhati-hati dengan bahaya yang dibawa rangkaian penyerang import The Red Warriors diketuai Erwin Carillo dan Iwuju Austin Amutu yang diakuinya cukup berbisa.

“Selepas kecewa di final Piala FA tempoh hari, sudah tentu pemain-pemain Kelantan mahu bangkit dan cuba bersaing merebut kejuraan liga pula.

“Begitu juga penyerang mereka yang dikritik hebat ekoran kegagalan menembusi gawang LionsXII (final Piala FA) dengan pemain mereka sudah tentu mahu membuktikan kemampuan kepada jurulatih dan ini pasti menyukarkan lagi kami.

“Apapun, kami sudah membuat kerja rumah dan kami tahu sebahagian besar kekuatan dan kelemahan mereka. Perkara paling penting ialah kami perlu mendapat tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:32 AM