Kota Bahru: Pasukan Kelantan perlu memburu gol awal apabila bertemu Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV di sini esok.

Kapten The Red Warriors (TRW) Mohd Badhri Radzi atau Piya berkata jaringan awal akan menaikkan semangat rakan-rakannya untuk mempamer aksi kemenangan.

Piya berkata pertemuan dengan Pahang itu peluang terbaik untuk Kelantan layak ke final Piala FA.

“Kalau boleh dalam tempoh 20 minit pertama kita sudah mempunyai satu gol. Kalau itu berlaku kita mungkin layak ke final,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama, Kelantan ketinggalan 0-1.

Mohd Badhri juga berkata Kelantan mungkin turun di pusingan kedua tanpa kelibat Austin Amutu yang cedera.

“Namun kami ada Erwin Carillo dan Gilmar Da Silva untuk bermain di bahagian serangan. Saya yakin pemain lain juga boleh menggantikan Amutu,” katanya.

Beliau berkata ketiadaan pemain pertahanan Jonathan Mckain turut merisaukan, namun Amirizdwan Taj Tajuddin mampu mengekang asakan pemain Pahang terutama Dickson Nwakaeme. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:30 AM