LIONSXII hanya pertaruh anak watan Singapura.
LIONSXII hanya pertaruh anak watan Singapura.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tiada ungkapan lain yang mampu diluahkan selain rasa kecewa apabila melihat Piala FA diarak keluar menuju ke negara jiran selepas hampir 25 tahun kekal di bumi Malaysia.

Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi lakaran baru sejarah bola sepak tanah air apabila kelab Singapura, LionsXII berjaya menumbangkan pasukan pilihan Kelantan dengan 3-1 dalam aksi final Sabtu lalu.

Bagaimanapun, ada sesuatu yang menarik mengenai skuad bimbingan Fandi Ahmad yang boleh dicontohi pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Fandi hanya mempertaruhkan kudrat tempatan daripada mendapatkan tonggak import yang menjadi ‘kegilaan’ sebahagian besar pasukan Liga-M.

Berbanding Kelantan yang dibarisi empat awang import membabitkan tiga penyerang (Erwin Carillo, Gilmar De Silva dan Iwuju Austin Amutu) dan pertahanan (Jonathan McKain), LionsXII sebaliknya tampil lebih ‘santai’ menyenaraikan kesemua pemain muda dengan satu tujuan iaitu membentuk pasukan masa depan negara kecil itu.

Pengkritik bola sepak tempatan Serbegeth Singh berkata, kebanyakan pasukan yang bertanding dakan Liga-M sudah lari daripada matlamat asal untuk melahirkan pemain tempatan berkualiti yang boleh mewakili negara ke peringkat antarabangsa menerusi saingan liga domestik.

“Mereka (LionsXII) contoh terbaik terutama dalam soal pembangunan yang jelas membuahkan hasil apabila mereka menjuarai Piala FA dan Liga Super (2013).

“Ini berbeza dengan pentadbir bola sepak tempatan dengan kebanyakan kelab atau pasukan negeri lebih suka mencari pemain import daripada memberi peluang kepada pemain kita.

“Itu saja sudah menunjukkan pasukan kita tidak berminat melahirkan pemain berbakat sebaliknya hanya mahu meraih kejayaan dengan mengejar kejuaraan saja.

“Apabila jurulatih negara (Dollah Salleh) merungut mengenai ketiadaan penyerang berwibawa setiap kali tugasan skuad kebangsaan, itulah sebenarnya punca kepada persoalan Dollah,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Shebby berkata, sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak negeri (FA) dan kelab bola sepak tempatan (FC) memainkan peranan lebih aktif membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan memberi seluas-luasnya peluang kepada anak tempatan mempamerkan kebolehan serta kemahiran mereka.

“Pada saya, sekiranya sistem pembangunan kita di setiap negeri mengikut silibus dan program yang betul, saya percaya sesebuah pasukan itu tidak perlu menggunakan pemain import. Secara tidak langsung ia dapat menjimatkan kos serta baik untuk pembentukan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:16 AM