Reuters

Tacoma, AS: Martin Kaymer akan mempertahankan kejuaraan Terbuka AS minggu ini di Chambers Bay namun gembira pemain seperti juara Masters AS, Jordan Spieth dan pemain nombor satu dunia Rory McIlroy menjadi tumpuan utama.

Kaymer dari Jerman mengukuhkan statusnya sebagai seorang daripada pemain terbaik sukan itu selepas merangkul kejuaraan utama keduanya dengan lapan pukulan pada Terbuka AS tahun lalu di Pinehurst, sekalipun sejak itu dia gagal mengulangi persembahan gemilang itu.

“Saya sering kali menjadi tumpuan, sesuatu yang saya rasakan bagus,” kata Kaymer semalam ketika bersiap sedia menghadapi pusingan pertama. “Pemain lain, mereka patut diberi pujian dengan apa yang mereka lakukan.

“Sudah tentu Jordan, apa yang dilakukannya tahun ini amat menakjubkan. Mengagumkan apabila menyaksikannya (pada Masters AS) tidak terlepas banyak putt. Dia bermain secara agresif dalam beberapa lubang terakhir.”

Spieth dari Amerika, pada usia 21 tahun, merangkul kejuaraan utama sulungnya dengan kemenangan empat pukulan selepas mendahului sejak pusingan pertama pada Masters, menyamai rekod kejohanan milik Tiger Woods 18 bawah par 270 bagi 72 lubang.

“Kemudian apa yang dilakukan Rickie (Fowler) pada Kejohanan Pemain, bagaimana beraninya dia bermain,” ujar Kaymer, merujuk kepada kemenangan play-off Fowler pada Kejohanan Pemain Mei lalu apabila dia menamatkan saingan dengan eagle-birdie-birdie.

“Sudah tentunya Rory (yang menang dua kejuaraan utama terakhir 2014). Pemain ini, mereka empat atau lima tahun lebih muda berbanding saya dan mereka patut menerima pujian terhadap apa yang mereka capai.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 11:28 AM