HOSSLER ketika membuat pukulan. FOTO/AFP
HOSSLER ketika membuat pukulan. FOTO/AFP
AFP

HOUSTON, Amerika Syarikat: Rickie Fowler tetap berpeluang meraih kemenangan golf PGA pertamanya tahun ini sekali pun melepaskan kelebihan selaku pendahulu di Terbuka Houston selepas tamat hari kedua, semalam berikutan catatan bogey.

Pemain dari Amerika Syarikat (AS) itu memulakan pusingan kedua dengan baik apabila melakukan empat birdie menuju lubang keenam dalam aksi yang berlangsung mendung dan hujan renyai di lapangan Kelab Golf Houston.

Begitupun, pemain di ranking lapan dunia itu tersekat apabila melakukan enam catatan par berturut-turut untuk menamatkan saingan dengan empat bawah par 68 keseluruhan 10 bawah par 134.

Pemain berusia 29 tahun itu ketinggalan satu pukulan di belakang rakan senegaranya, Ben Hossler (68) dan berkongsi tangga kedua bersama tiga lagi pemain AS, Abraham Ancer (66), Sam Ryder (68) dan Nicholas Lindheim (66)

“Saya memperoleh permulaan yang baik seperti yang kamu dapat lihat dengan empat birdie di enam lubang pertama, tetapi ia boleh menjadi lebih bagus jika saya mendapat pukulan yang baik selepas itu untuk menamatkan pusingan dengan lebih selesa,” kata Fowler.

“Tetapi, bagus untuk berada di posisi saya sekarang sekali pun saya tidak menampilkan persembahan terbaik.

“Saya bermain dengan agak baik pada dua hari pertama, tetapi sesuatu boleh diperbaiki dan saya sudah pasti tidak sabar untuk melakukannya pada minggu ini.”

Lima pemain - empat darinya pemain tuan rumah - Jordan Spieth (67), Bronson Burgoon (68), Kevin Tway (70), Julian Suri (69) dan pemain Ireland, Paul Dunne (71) berkongsi tangga keenam dengan sembilan bawah par.

Kurang seminggu sebelum kejohanan Major, Masters membuka tirainya, Spieth tampil dengan prestasi diharapkan apabila melakukan lima birdie daripada enam lubang berturut-turut dari lubang kesembilan hingga 14.

“Jujurnya, sasaran saya pada minggu ini berjaya dilaksanakan selepas dua pusingan saja,” kata Spieth. “Saya hanya cuba untuk mendapatkan sedikit konsisten dan melakukan beberapa birdie.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 11:28 AM