IAN Poulter lakukan tujuh di bawah par 65 pada saingan pusingan ketiga Terbuka Houston, sebentar tadi. - Foto AFP
IAN Poulter lakukan tujuh di bawah par 65 pada saingan pusingan ketiga Terbuka Houston, sebentar tadi. - Foto AFP
AFP

HOUSTON: Ian Poulter berada di landasan tepat untuk memburu tempat ke saingan AS Masters selepas mencatat tujuh di bawah par 65 sekali gus berkongsi pendahuluan dengan kelebihan dua pukulan bersama Beau Hossler di pusingan ketiga Terbuka Houston, semalam.

Poulter yang perlu menang di Houston bagi membolehkannya layak ke Kejohanan Masters minggu depan, bergelar pendahulu dengan catatan 14 di bawah 202 sebelum Hossler membenam birdie di lubang terakhir untuk mengumpul 69 pukulan.

“Saya harap dapat melengkapkan beberapa lagi putt yang baik,” kata Poulter kepada stesen radio PGA.

“Jika mampu berbuat demikian, mungkin ada khabar gembira untuk esok,” katanya yang menduduki ranking ke-51 dunia, ketinggalan satu anak tangga untuk layak secara automatik ke Masters.

Greg Chalmers (65), Emiliano Grillo (67), Kevin Tway (69) dan Paul Dunne (69) terikat dengan 204 pukulan di kejohanan terakhir sebelum ke Masters.

Antara enam pemain lain yang ketinggalan satu pukulan di belakang ialah Henrik Stenson (69) dan Jordan Spieth (71) dengan 10 di bawah 206.

Rickie Fowler yang bergelar pendahulu hari pertama, ketinggalan lima pukulan di belakang selepas mencatat satu bogey, satu bogey berganda serta lima birdie.

“Ada dua lubang yang menjejaskan catatan saya. Bagaimanapun, saya harap dapat kembali bangkit esok,” kata Fowler. “Saya akan lupakan apa yang berlaku hari ini dan cuba sebaik mungkin esok. Secara keseluruhan, permainan saya bukanlah buruk sangat.”

Poulter yang mencatat 64 pukulan selepas melakukan 73 pukulan pada hari pertama, membenam empat birdie di sembilan lubang pertama dan menambah tiga lagi birdie di sembilan lubang kedua.

“Semalam, angin agak kencang. Begitu juga dengan hari ini,” katanya. “Keadaan lapangan bertambah baik tetapi saya masih lagi cuba memperbaiki pukulan putt.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 10:28 AM