PROTON berjaya menjual 100,821 unit tahun lalu.
PROTON berjaya menjual 100,821 unit tahun lalu.

DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) yakin sektor automotif kumpulan akan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan tahun ini khususnya dengan pelancaran model baharu pelbagai jenama.

DRB-Hicom dalam kenyataan berkata, antara jenama di bawah kendalian kumpulan adalah Honda yang baru saja melancarkan model segmen-D mereka, Accord generasi ke-10 serba baharu di Malaysia.

“Volkswagen juga melancarkan Passat Elegance dalam segmen sama awal bulan ini dan dijangka melancarkan model baharu, Arteon di Malaysia tahun ini.

“Malah, Proton turut merancang melancarkan satu lagi model, SUV yang lebih kompak diberi kod SX11 juga dalam tahun kewangan semasa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, sektor automotif kumpulan menyumbang RM7 bilion, peningkatan RM1.8 bilion dari tahun sebelumnya.

Ia didorong oleh Proton yang berjaya menjual 100,821 unit tahun lalu khususnya Proton X70 yang menjadi SUV paling laris di Malaysia tahun lalu dengan jualan lebih 29,000.

Sementara itu, DRB-Hicom merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM472.5 juta bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2019, memulihkan kerugian pracukai sebanyak RM46.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan penuh ialah RM359 juta.

Keuntungan ini didorong peningkatan pendapatan kumpulan untuk tempoh sembilan bulan ke RM10.5 juta yang juga peningkatan sebanyak 16.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:20 AM