NAJIB menyaksikan Syed Faisal (kiri) dan An Conghui bertukar dokumen pada Majlis Perjanjian Muktamad di antara DRB-HICOM dan Geely Holding.
NAJIB menyaksikan Syed Faisal (kiri) dan An Conghui bertukar dokumen pada Majlis Perjanjian Muktamad di antara DRB-HICOM dan Geely Holding.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Kerjasama strategik antara DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely Holding) berupaya untuk mengembalikan kegemilangan pengeluar kenderaan nasional untuk bersaing di pasaran antarabangsa khususnya di rantau Asia Tenggara dengan lebih pesat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha sama itu secara tidak langsung akan mengangkat pembuat kereta nasional itu ke tahap kejayaan dan masa depan yang terjamin dalam sektor automotif tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, ia memberikan satu era baru kepada PROTON untuk terus berkembang sebagai jenama yang unggul dalam pasaran, seterusnya mencipta nama dengan kepelbagaian produk kereta pada masa akan datang.

Menurutnya, selaras dengan itu, Malaysia juga berpeluang untuk menjadi hab pengeluaran global model kereta pemanduan kanan Geely di rantau ini.

“Selepas sekian lama dilanda kemelut kerugian, PROTON akhirnya menemui rakan paling sesuai dalam memacu masa depan gemilang.

“Rakyat mesti tahu kerana Geely adalah pemain industri terbesar dalam dunia automotif dunia sejak 10 tahun lalu. Volvo, sebuah syarikat automotif dari Sweden yang dimiliki Geely menjana keuntungan AS$1.25 bilion, yang terbesar dalam tempoh 90 tahun.

“Malah, dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran Geely, PROTON kini bersedia menghadapi cabaran mendatang dan tampil sebagai pemain utama segmen automotif dunia,” katanya pada majlis perjanjian muktamad antara DRB-HICOM dan Geely Holding di sini, semalam.

Perjanjian itu memuktamadkan persetujuan antara DRB-HICOM dengan Geely Holding bagi membolehkan syarikat itu membeli 49.9 peratus saham PROTON.

Pada majlis itu, DRB-HICOM diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Seri Syed Faisal Albar manakala Geely Holding diwakili Presidennya An Conghui sambil disaksikan Presidennya Li Shufu dan Pengerusi DRB-HICOM Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Najib menyuarakan keyakinan beliau dalam kerjasama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 8:26 AM