Siti Aminah Mohd Yusof


Balik Pulau: Kontinjen Pulau Pinang menyasarkan 26 pingat emas, 20 pingat perak dan 44 gangsa dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 yang bakal berlangsung di sekitar Lembah Klang pada 16 hingga 24 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, sasaran itu sedikit berkurangan berbanding jumlah kutipan 32 pingat emas diperoleh pada Sukma 2018 berikutan pengguguran beberapa kategori acara sukan dalam kejohanan itu.

Misalnya untuk badminton cuma ada acara perseorangan manakala kategori berkumpulan tidak dipertandingkan dan antara sukan berpotensi menyumbangkan pingat emas ialah karate, silat, judo, memanah, sepak takraw serta gimnastik.

"Pada Sukma 2018, kami mendapat tempat keenam secara keseluruhan dan tahun ini kita berharap dapat memperbaiki kedudukan pada tahap yang lebih baik," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Pulau Pinang Sukma XX MSN 2022 di Kem White Resort oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Lip Chee berkata, Pulau Pinang akan mengambil bahagian dalam semua 31 jenis sukan dipertandingkan menerusi pembabitan 488 atlet, 102 jurulatih dan 43 pengurus sukan.

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah kekuatan Kontinjen Pulau Pinang ialah seramai 761 orang termasuk urusetia, sekretariat Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, pegawai sains sukan, petugas media dan lain-lain pegawai yang terbabit secara langsung.

Sementara itu, Kon Yeow yakin sasaran ditetapkan adalah realistik berdasarkan pertimbangan prestasi atlet negeri dengan mengambil kira faktor pencapaian serta kedudukan ranking terkini atlet atau pasukan masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Pulau Pinang (SKIMAS) yang antaranya menawarkan ganjaran wang tunai RM4,000 bagi acara individu, acara beregu (RM2,000), berpasukan lima individu ke bawah (RM1,200) dan berpasukan enam individu ke atas (RM700) untuk setiap seorang pemenang pingat emas.

Menurutnya, atlet yang berjaya mencatatkan rekod kebangsaan akan diberi insentif RM1,000 manakala RM500 akan diberikan kepada mereka yang mencatatkan rekod Sukma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 6:39 PM
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanan) beramah mesra dengan atlet Pulau Pinang ke Sukma. FOTO MIKAIL ONG
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanan) beramah mesra dengan atlet Pulau Pinang ke Sukma. FOTO MIKAIL ONG