CORBIN Ong cuba melepasi kawalan pemain Kyrgyzstan. FOTO FAM
CORBIN Ong cuba melepasi kawalan pemain Kyrgyzstan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mungkin sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia 2026 apabila terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan, sebentar tadi.

Satu mata yang diraih di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon berdepan tugas sangat sukar kerana perlu mengatasi Taiwan dengan jaringan besar dalam aksi terakhir Kumpulan D, Selasa ini selain mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Malaysia berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tujuh mata selepas lima perlawanan, tiga mata di belakang Kyrgyzstan yang menghuni tangga kedua.

Oman yang menewaskan pasukan tercorot, Taiwan 3-0 berada di kedudukan teratas dengan 12 mata dan sudah mengesahkan tempat ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 serta layak ke Piala Asia 2027.

Dalam perlawanan sebentar tadi, Harimau Malaya yang kehilangan ramai tonggak utama akibat kecederaan memaksa rombakan besar dilakukan Pan-gon termasuk membuat kejutan apabila menyenaraikan dua bintang muda termasuk perancang tengah, Nooa Laine dan pemain pertahanan, Safwan Mazlan dalam kesebelasan utama.

Skuad negara yang menghuni ranking ke-138 dunia bagaimanapun berjaya mengimbangi permainan pasukan tangga ke-100 dunia itu meskipun dibolosi dengan jaringan Gulzhigit Alykulov pada minit ke-24.

Usaha keras dilakukan anak buah Pan-gon berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 hasil jaringan sendiri Odilzhon Abdurakhmanov selepas dia tertanduk bola berpunca dari sepakan percuma Endrick Dos Santos.

Walaupun banyak ditekan dengan gerakan serangan Kyrgyzstan pada babak kedua, benteng skuad negara tetap kebal bertahan dengan penjaga gol, Azri Ghani bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

Percaturan Pan-gon membuat tiga pertukaran di bahagian serangan dengan membawa masuk Safawi Rasid, Haqimi Azim Rosli dan Adib Ra'op di penghujung perlawanan juga tidak berjaya mengubah keputusan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 1:09 AM