KETUA Polis Johor, Komisioner M Kumar. FOTO Arkib NSTP
KETUA Polis Johor, Komisioner M Kumar. FOTO Arkib NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan sembilan lelaki warga tempatan selepas disyaki terbabit dalam insiden culik seorang wanita di Kulai, dekat sini dan meminta wang tebusan RM111,000, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun sudah dituduh di mahkamah hari ini.

Beliau berkata lima suspek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Majistret Kulai hari ini mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 serta Seksyen 383 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, namun mereka mengaku tidak bersalah manakala empat lagi dibebaskan dengan bon jaminan untuk menjadi saksi pendakwaan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Terdahulu, Kumar berkata, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi berasingan di negeri ini, Negeri Sembilan dan Selangor antara 23 hingga 25 Mei lalu.

Beliau berkata, penahanan itu susulan laporan diterima pihak polis pada 16 Mei lalu yang mendakwa mangsa berusia 30 tahun dilarikan tiga individu bersenjatakan parang ketika berada di rumah.

"Insiden ini turut membabitkan wang tebusan sebanyak RM111,000 bagi melepaskan mangsa yang bekerja sendiri itu.

"Mangsa kemudian dilepaskan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan sebaik wang tebusan diserahkan pada hari sama di sebuah perhentian bas di Skudai di sini," katanya.

Kumar berkata pihaknya turut merampas wang tunai yang dipercayai diperoleh hasil daripada kejadian culik itu.

"Semua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati enam daripadanya positif methamphetamine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 9:18 PM