AIDA bersama Firdaus (kanan) dan Amirul bersama anugerah dimenangi. FOTO Saifullizan Tamadi
AIDA bersama Firdaus (kanan) dan Amirul bersama anugerah dimenangi. FOTO Saifullizan Tamadi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Harian Metro mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertamanya memenangi Anugerah Siebel pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2023, sebentar tadi.

Wartawan sukan Harian Metro Aida Adilah Mat bergandingan bersama Firdaus Hashim dan Amirul Fazli Zulkafli memenangi anugerah tertinggi itu menerusi laporan khas berjudul 'Ketandusan Atlet Pelapis' yang mendedahkan Malaysia kekurangan atlet pada masa hadapan.

Laporan terbabit juga dipilih sebagai pemenang kategori Laporan Khas selepas mengetepikan empat pencabar lain.

Menerusi kemenangan itu, pemenang utama membawa pulang wang tunai secara keseluruhan RM10,000.

Sementara itu, Editor Sukan Harian Metro Mohd Saipul Adli Mohamad dan Firdaus turut tercalon sebagai finalis anugerah Ulasan Berita Terbaik.

Wartawan sukan Arena Metro Syazwan Msar dan Firdaus pula berada dalam kedudukan lima terbaik untuk anugerah Berita Terbaik.

Hadiah utama disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 10:09 PM