Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) memberi jaminan kepada wartawan sukan untuk terus berkarya dengan melaporkan pelbagai isu terkini tanpa risau serangan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, cabaran wartawan hari ini amat tinggi apabila penulisan mereka boleh diserang bila-bila masa di media sosial terutama cybertrooper sekiranya penulisan itu tidak disenangi oleh peminat sesetengah atlet.

Jelasnya, SAM akan terus bersama menyokong ahli atau wartawan sukan selagi mana mereka menulis berdasarkan fakta dan perkara betul.

"SAM akan sentiasa mempertahankan ahli-ahli terutama dalam zaman sekarang ini di mana begitu terbuka wartawan diserang di media sosial peribadi mereka sekiranya ataupun jika artikel tidak menyebelahi atlet kesayangan mereka di tulis.

"Jadi kita sentiasa ingin mengingatkan kepada mereka ahli-ahli jangan gentar untuk terus perkara yang benar, melaporkan yang sepatutnya rakyat dan peminat tahu, " katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 11:11 PM