LELAKI warga emas yang dilaporkan hilang sejak 20 hari lalu ditemukan meninggal dunia dalam hutan di Kampung Kakeng, Serian, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
LELAKI warga emas yang dilaporkan hilang sejak 20 hari lalu ditemukan meninggal dunia dalam hutan di Kampung Kakeng, Serian, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Kakeng, Serian sejak 20 hari lalu, ditemukan meninggal dunia, hari ini.

Mayat Denis Nyawod, 76, ditemui orang awam di kawasan Sungai Jeran, Bukit Minampun, Kampung Kakeng, iatu kira-kira tiga kilometer (km) dari rumahnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis memaklumkan penemuan mayat mangsa pada jam 2.25 petang.

Menurutnya, polis kemudian meminta bantuan bomba untuk mengambil mayat berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Serian diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, anggota bomba bersama anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung bergerak ke tempat mayat ditemui dengan melalui denai hutan," katanya.

Mangsa yang menghidap demensia atau hilang ingatan dilaporkan hilang pada 18 Mei lalu.

Berikutan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan pencarian dijalankan di kawasan hutan berdekatan Kampung Kakeng.

Bagaimanapun, operasi ditamatkan pada 25 Mei lalu selepas lapan hari diaktifkan berikutan tiada sebarang petunjuk ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 9:59 PM