PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei berjanji memberikan aksi terbaik di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO FB BAM
PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei berjanji memberikan aksi terbaik di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO FB BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengakui teruja untuk mengibarkan cabaran negara di Sukan Komanwel buat kali pertama dalam kariernya.

Tidak menyangka akan dipilih, juara remaja dunia sebanyak dua kali itu bertekad untuk memberikan yang terbaik buat negara biarpun mengakui cabaran di pentas Sukan Komanwel tidak mudah terutama dalam acara perseorangan wanita.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu mengakui cabaran sengit pastinya akan diterima daripada barisan pemain India seperti P V Sindhu yang pernah muncul juara dunia pada 2019 dan pemain Kanada, Michelle Li.

Apapun Jin Wei berkata, dia tetap berusaha untuk memberikan sesuatu kepada negara dan kini berada dalam persiapan terbaik sebelum terbang ke Birmingham, Sabtu ini.

"Terima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) kerana memberi kepercayaan ini kepada saya.

"Memang tak jangka saya dapat sertai temasya ini dan sangat teruja serta tak sabar untuk beraksi," katanya.

Bercakap mengenai sasaran, pemain berusia 22 tahun yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, buat ketika ini dia tak mahu terlalu memikirkan mengenai pingat kerana yang penting adalah untuk buat terbaik.

"Semangat saya memang tinggi dan jika bercakap mengenai sasaran, saya mahu buat tugas dulu iaitu buat yang terbaik.

"Saya akan berikan cabaran kepada lawan. Biarpun sebelum ini saya tak pernah menang lawan Sindhu yang juga juara dunia, tapi saya tetap mahu mencuba kalau boleh nak dapatkan pingat," katanya.

Skuad badminton negara ke Birmingham 2022 akan diketuai beregu lelaki negara yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chan Peng Soon-Cheah Yee See (beregu campuran) serta Ng Tze Yong (perseorangan).

Cabaran negara akan bermula pada 29 Julai ini membabitkan acara berpasukan dan acara individu bermula pada 3 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 3:01 PM