Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan syarikat yang sanggup menaja persatuan sukan atau acara sukan perlu diberikan potongan cukai.

Jelasnya, beliau akan membawa usul itu kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangankan perkara berkenaan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Oktober ini.

"Ini bagi menarik penajaan berterusan dan secara tidak langsung ia juga akan mengurangkan kebergantungan dan beban dana kerajaan.

"Malaysia sebagai 'sporting nation' harus menjalin hubungan yang baik agar kita dapat merealisasikan matlamat kerajaan supaya negara berada di barisan hadapan dalam bidang sukan. Kecemerlangan sukan negara adalah tanggungjawab kita bersama," katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau berharap pengamal media sukan tempatan akan meneruskan penulisan yang boleh memberi pendidikan positif kepada rakyat dalam bidang sukan.

Tambahnya, beliau juga berharap wartawan sukan lebih kerap menulis berita sukan yang boleh memberi bersemangat pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

AHMAD Zahid mahu negara berada di barisan hadapan dalam bidang sukan.
AHMAD Zahid mahu negara berada di barisan hadapan dalam bidang sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 11:50 PM