JOE Allen merai gol kedua Liverpool bersama Philippe Coutinho dan rakan sepasukan. FOTO Reuters
JOE Allen merai gol kedua Liverpool bersama Philippe Coutinho dan rakan sepasukan. FOTO Reuters

Liverpool: Usaha skuad Liverpool memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan lebih kukuh dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Gol daripada Raheem Sterling dan Joe Allen masing-masing dalam setiap babak memastikan kemenangan dan mengurangkan jurang dengan Manchester City yang berada di tangga keempat dengan beza empat mata berbaki enam perlawanan.

Saingan antara Liverpool dan Newcastle jarang tamat tanpa jaringan dengan 130 gol dalam 41 pertemuan liga sebelum ini dan Sterling memastikan trend ini diteruskan apabila gol pertama pada minit kesembilan memberi Liverpool permulaan yang baik selepas kekalahan berturut-turut kepada Manchester United dan Arsenal.

Namun, Sterling mensia-siakan peluang untuk mendapat gol kedua pada awal babak pertama apabila gagal menyempurnakan hantaran lintang Jordan Henderson pada jarak dekat.

Bagaimanapun, Allen menggandakan gol Liverpool pada minit ke-70 sekaligus menghadiahkan Newcastle kekalahan liga kelima berturut-turut.

Newcastle juga terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Moussa Sissoko dilayang kad merah selepas mendapat kad kuning kedua kerana mengasari Lucas Leiva pada lewat perlawanan.

"Manchester City memberi sedikit ruang kepada kami dan jika kemenangan berterusan, kami akan lihat apa yang berlaku sepelas ini," kata pengurus Liverpool Brendan Rodgers.

Liverpool kini di tempat kelima dengan 57 mata daripada 32 perlawanan dan hanya satu mata di atas Southampton di tangga keenam, manakala Newcastle kekal di tempat ke-13 dengan 35 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 11:21 AM